WikiLeaks dedah AS intip Perancis

WikiLeaks dedah AS intip Perancis

PARIS, 25 Jun (AFP) – Beberapa dokumen yang didedahkan ke internet oleh laman web WikiLeaks kelmarin mendedahkan Amerika Syarikat (AS) pernah mengintip tiga Presiden Perancis termasuk Presiden negara ini sekarang, Francois Hollande.

Dokumen yang diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia Besar’ dan pertama kali dilaporkan secara bersama oleh akhbar Perancis, Liberation dan laman web Mediapart turut mendedahkan Hollande meluluskan mesyuarat rahsia berkaitan Greece meninggalkan zon Eropah seawal tahun 2012.

Dokumen itu menunjukkan aktiviti pengintipan tersebut berjalan antara 2006 hingga 2012.

“Pendedahan itu mendorong pemimpin utama Perancis itu memanggil mesyuarat majlis pertahanan awal pagi semalam untuk menilai bentuk maklumat yang didedahkan media malam kelmarin dan satu kesimpulan,” kata salah seorang pembantu beliau.

Pendedahan itu muncul beberapa minggu selepas Presiden Barack Obama menandatangani peruntukan undang-undang yang menamatkan pemantauan data telefon, membelakangi polisi AS dengan menghentikan program pemantauan paling kontroversi sejak tragedi 9/11.

Gambar dua bekas dan presiden masa kini Perancis yang diintip oleh AS menurut maklumat didedahkan oleh WikiLeaks. - AFP
Gambar dua bekas dan presiden masa kini Perancis yang diintip oleh AS menurut maklumat didedahkan oleh WikiLeaks. – AFP

Antara dokumen yang mendedahkan bekas Presiden, Jacques Chirac dan Nicolas Sarkozy turut diintip itu, termasuk lima daripada Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) dengan dokumen terkini bertarikh 22 Mei 2012 beberapa hari selepas Hollande memasuki pejabatnya.

Dokumen berkenaan menunjukkan pemimpin Perancis itu meluluskan mesyuarat rahsia di Paris bagi membincangkan krisis zon Eropah, khususnya kesan jika Greece keluar daripada zon tersebut.

Turut dinyatakan, Hollande percaya Jerman sudah berputus asa terhadap Greece dan tidak mahu berganjak selepas perbincangannya dengan Canselor Jerman, Angela Merkel.

“Ini menyebabkan Hollande sangat bimbang untuk Greece dan rakyatnya yang mungkin bertindak mengundi sebuah parti ekstremis,” jelas dokumen tersebut.

Fail yang sama turut me­nunjukkan Hollande membelakangi Merkel dalam menyusun beberapa mesyuarat di Paris dengan anggota parti Sosial Demokrat, parti pembangkang utama Jerman ketika itu.