Wilayah Papua bakal dimajukan

Wilayah Papua bakal dimajukan

JAKARTA, 11 Jun (Reuters) – Presiden Indonesia Joko Widodo mahu membuka wilayah terpencil dan miskin Papua selepas konflik dan pengabaian selama beberapa dekad, tetapi terlebih dahulu memerlukan sokongan tentera, parlimen dan pemisah.

Pegawai istana berkata presiden merancang membebaskan puluhan tahanan politik, melancarkan beberapa siri projek prasarana, dan menangani masalah pengangguran yang serius di timur wilayah gugusan kepulauan Indonesia.

“Pendekatan baru adalah bersifat lebih berperikemanusiaan, dengan matlamat untuk membangunkan Papua dengan lebih adil,” beritahu Mualimin Abdi, pengarah hak asasi manusia untuk Kementerian Keadilan, kepada Reuters.

Satu gerakan pemisah kecil telah mengekalkan Papua di bawah penyeliaan tentera yang ketat, lebih 50 tahun selepas Indonesia merampas kawalan ke atas kawasan yang kaya dengan sumber itu selepas berakhirnya pemerintahan jajahan Belanda.

Meskipun terdapat banyak hutan dan galian, penduduk asli Papua tidak menerima faedah terhadap sekolah, hospital dan infrastruktur mereka yang dalam keadaan teruk disebabkan rasuah yang berleluasa.

Gambar fail menunjukkan kaum wanita Papua dengan pakaian tradisi masing-masing mengibarkan bendera Indonesia ketika lawatan Presiden Indonesia Joko Widodo ke wilayah itu. – AFP
Gambar fail menunjukkan kaum wanita Papua dengan pakaian tradisi masing-masing mengibarkan bendera Indonesia ketika lawatan Presiden Indonesia Joko Widodo ke wilayah itu. – AFP

Widodo telah menjadikan pembangunan Papua sebagai salah satu dasar utama beliau dan telah pun melawat wilayah itu dua kali sejak menjadi presiden, mengumumkan rancangan untuk rangkaian jalan raya, sistem kabel optik gentian, kemudahan sukan dan pelabuhan laut dalam.

Pemimpin sebelum Widodo, Susilo Bambang Yudhoyono, hanya melawat Papua tiga kali ketika penggal 10 tahunnya.

Mengalu-alukan era baru untuk keamanan dan pembangunan, Widodo pada bulan lalu membebaskan lima tahanan politik dan membatalkan sekatan perjalanan untuk wartawan asing di Papua.

Namun dalam satu petunjuk yang jelas mengenai kesukaran yang bakal dihadapi oleh Widodo, ketua tentera Moeldoko mengubah kenyataan presiden berkata wartawan asing masih memerlukan permit khas untuk berkunjung ke sana disebabkan isu keselamatan.