Willet juarai masters ke-80

Willet juarai masters ke-80

AUGUSTA, 11 April (Reuters) – Jaguh England, Danny Willett meraih gelaran major pertama selepas menjuarai saingan edisi ke-80 Masters di Augusta National sebentar tadi.

Dia ketinggalan lima pukulan kepada juara bertahan Jordan Spieth, namun mengambil kesempatan di atas kejatuhan prestasi pemain Amerika Syarikat itu di baki sembilan lubang terakhir untuk menewaskannya.

Willett menamatkan hari terakhir dengan mencatat lima di bawah 67 untuk keseluruhan 283 pukulan dengan Spieth terikat di tempat kedua bersama pemain England, Lee Westwood, tiga pukulan di belakang.

Spieth sekadar melakukan 73 dan Westwood 69. Sementara itu Paul Casey (67), JB Holmes (68) dan Dustin Johnson (71) terikat di kelompok keempat dengan keseluruhan 287 pukulan.

Willett muncul selaku pemain England pertama sejak Nick Faldo menjuarai Masters 20 tahun lalu.

Willet memakai jaket hijau sebagai kemenangannya meraih gelaran major pertama selepas menjuarai saingan edisi ke-80 Masters di Augusta National. – Reuters
Willet memakai jaket hijau sebagai kemenangannya meraih gelaran major pertama selepas menjuarai saingan edisi ke-80 Masters di Augusta National. – Reuters

Sementara itu, Spieth seperti kehilangan kata-kata untuk menjelaskan kejatuhan prestasinya pada sembilan lubang terakhir selepas usahanya untuk mempertahankan mahkota Masters buat tahun kedua berturut-turut dinafikan jaguh England Danny Willett, pagi tadi.

Bukan dia sahaja, tetapi ramai penyokongnya juga sukar mempercayai bagaimana kelebihan lima pukulan dimiliki selepas sembilan lubang pertama pada hari terakhir cabaran Major itu hilang dengan sebegitu mudah kepada pencabarnya itu.

Bintang Amerika Syarikat itu melalui mimpi ngeri apabila melakukan bogey pada lubang ke-10 dan 11 serta bogey empat berganda di lubang ke-12, sekali gus kehilangan enam pukulan untuk berada dalam sejarah sebagai kejatuhan paling luar biasa.

“Ia adalah tempoh 30 minit yang amat sukar untuk saya dan saya berharap pengalaman ini tidak akan berulang lagi,” kata Spieth yang kelihatan masih terkejut.

“Saya tidak boleh membayangkannya lagi, mungkin ia sesuatu yang menyeronokkan buat pasukan Danny tetapi tidak bagi saya.

“Pada satu ketikanya saya memberitahu kedi saya Mike (Greller), ‘Ia seperti kita hampir menuju kehancuran.’

“Saya perlukan seketika untuk melupakannya.”

Apa yang berlaku kepada Spieth pernah berlaku ke atas legenda Greg Norman dua dekad lalu apabila dia tiba ke hari terakhir Masters dengan kelebihan enam pukulan, namun akhirnya dia tewas kepada pemain England, Nick Faldo yang menyambar Jaket Hijau ketiga pada edisi 1996.

ARTIKEL YANG SAMA