Williams bosan huni tempat ketiga

Williams bosan huni tempat ketiga

LONDON, 2 Feb – Timbalan ketua pasukan Formula Satu (F1), Williams, Claire Williams berharap pasukannya dapat merapatkan jurang antara pasukan gergasi, Mercedes dan Ferrari pada saingan F1 pada musim ini.

Untuk dua musim berturut-turut, Williams sekadar menduduki di tangga ketiga keseluruhan di belakang Mercedes dan Red Bull Ra­cing (RBR) pada tahun 2014 dan dikecewakan oleh Mercedes dan Ferrari pada saingan musim lalu.

Valtteri Bottas dan Felipe Massa berjaya mengakhiri hampir ke­seluruhan perlumbaan pada musim lalu pada kedudukan 10 terbaik selain meraih empat podium.

Claire menggesa anak buahnya mengekalkan ren­tak yang sama pada tahun ini selain mengharapkan dapat merapatkan kedudukan dengan pasukan pilihan, Mercedes dan Ferrari serta menewaskan sekali lagi pasukan Red Bull.

“Pasukan kami perlu merapatkan jurang dengan pasukan pilihan dan saya anggap ia akan menjadi pencapaian yang sangat cemerlang ke­rana kami tidak dibekalkan dengan dana yang besar.

pg23_160203_c

“Namun, saya anggap jika kami berjaya menewaskan Red Bull sekali lagi, ia adalah keputusan yang lebih manis,” katanya.

Bagaimanapun, Claire berharap Williams berjaya memenangi perlumbaan Grand Prix dan gelaran dunia dalam tempoh beberapa tahun lagi sekali gus menyamai pencapaian yang dilakukan pada 1997 untuk pasukan yang berpangkalan di Oxfordshire, England.

“Azam kami setiap tahun adalah sama iaitu mahu memenangi perlumbaan dan menjadi juara keseluruhan. Kami berjaya meraih tempat ketiga buat dua tahun berturut-turut dan saya yakin kami mampu memperbaiki kedudukan pada masa depan,” jelasnya lagi. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA