Wilmots: Saya tidak salahkan siapa-siapa

Wilmots: Saya tidak salahkan siapa-siapa

UEFA-Euro-2016-Logo

LYON, 14 Jun (AFP) – Pengendali Belgium, Marc Wilmots enggan menyalahkan barisan bintangnya yang beraksi di Liga Perdana Inggeris atas persembahan hambar ditampilkan Red Devils ketika tewas 2-0 kepada Itali pada aksi Euro 2016, sebentar tadi.

Belgium yang dianggap pasukan pilihan di kejohanan itu dikecewakan dengan gol pada kedua-dua babak permainan oleh Emanuele Giaccherini dan Graziano Pelle ketika Itali memulakan kempen bola sepak terbesar Eropah itu dengan langkah kanan.

Bintang seperti Kevin de Bruyne dan Romelu Lukaku pasti sukar untuk mengingati persembahan di Stade de Lyon itu ketika rentetan serangan Belgium berjaya dipatahkan pertahanan Itali yang dikemudi trio ‘BBC’, Andre Barzagli, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini.

“Amat sukar untuk mengatakannya,” kata Wilmots ketika ditanya di mana kesalahan Belgium.

“Kami amat padat pada setengah jam pertama, kemudian kami melepaskan gol (pertama) daripada di bahagian atas, jelas ia adalah kesilapan individu.

“De Bruyne dan Lukaku tidak berada di prestasi terbaik mereka, namun saya tidak mahu mengkritik secara individu,” katanya.

Pemain Manchester City, De Bruyne tampak penat apabila beraksi di bahagian sayap kanan namun Wilmots berkata, dia akan tetap menyenaraikannya disebabkan prestasinya bersama Belgium sebelum ini.

“Adakah pemain ini penat selepas musim yang panjang? Mungkin namun saya tidak akan memberinya rehat, dia adalah pemain yang penting bagi kami sebelum ini dan dia sentiasa membantu kami,” kata Wilmots.

“Ada kesilapan komunikasi bagi gol pembukaan mereka, sesuatu yang sepatutnya tidak boleh berlaku di tahap ini,” katanya mengenai kesilapan dilakukan Toby Alderweireld yang membenarkan Giaccherini meledak gol pembukaan Itali.

Wilmots berkata objektif Belgium ketika ini adalah untuk melupakan kekalahan pada aksi pembukaan dan menewaskan Republik Ireland dan Sweden untuk melangkah ke peringkat 16 terakhir.