Wilmots senang dengan prestasi Belgium

Wilmots senang dengan prestasi Belgium

UEFA-Euro-2016-Logo

BORDEAUX, 19 Jun (AFP) – Pengendali Belgium, Marc Wilmots mengakui bahawa dia gembira dengan kemenangan 3-0 skuadnya ke atas Republik Ireland di Euro 2016 semalam tatkala mereka bangkit daripada kekalahan kepada Itali.

Dikritik hebat selepas kecundang 2-0 kepada Itali di Lyon dalam aksi pembukaan Kumpulan E, Belgium bagaimanapun kembali mengaum hasil dua jaringan Romelo Lukaku dan satu oleh Axel Witsel.

“Ia adalah situasi yang berbeza. Ireland cuba bermain dengan cara mereka iaitu dengan melakukan serangan balas, jadi kami pilih untuk bermain hantaran rendah dan memastikan rentak dengan melakukan banyak hantaran pendek,” kata Wilmots.

“Kami berjaya merobek, menyelinap masuk ke belakang mereka dan mencipta ruang, syukur kepada pemain kami yang berkemahiran tinggi.

Tambah Wilmots: “Saya fikir strategi itu sememangnya bagus tetapi pemain yang melakukannya dan saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka, tetapi kami belum lega sepenuhnya, kerana kami belum layak. Kami masih perlu menentang Sweden.”

Wilmots turut berharap kecederaan yang memaksa perancang Moussa Dembele dibawa keluar di babak kedua tidak terlalu serius.

“Buku lali dia sedikit terseliuh tetapi berapa lama dia akan keluar saya tidak boleh jangka. Saya cuma berharap ia tidak terlalu serius,” katanya.