Wira Brunei selamat kembali

Wira Brunei selamat kembali

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Walaupun pelbagai peristiwa dan rintangan yang perlu dilalui, Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) ke-11 berjaya untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik dan kesemua anggota pasukan berkenaan menunjukkan semangat juang yang tinggi serta selamat kembali ke tanah air setelah menjalankan tugas selama setahun.

Pengalaman yang diperoleh sepanjang menjalankan tugas di Mindanao, banyak memberikan pengajaran kepada pasukan berkenaan dan kerjasama dengan pasukan pemantau dari negara-negara lain juga banyak membantu untuk meningkatkan keupayaan, ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran anggota Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) ke-11.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Kontinjen IMT ke-11, Leftenan Kolonel Haji Huzaimi bin Pehin Datu Harimau Padang Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Husin dalam temu bual ringkas bersama Media Permata selepas Upacara Perbarisan Ketibaan Pasukan IMT ke-11, Negara Brunei Darussalam ke Mindanao, Republik Filipina, yang berlangsung di Pusat Pergerakan Udara (AMC), Tentera Udara Diraja Brunei, Rimba, hari ini.

Beliau menyatakan bahawa kumpulan berkenaan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya dalam terus memainkan peranan bersama rakan-rakan serantau lain bagi menekankan lagi komitmen dalam melindungi gencatan senjata di Mindanao dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Beliau juga berkata bahawa cabaran utama yang dihadapi oleh mereka ialah perasaan berjauhan daripada keluarga dalam menjalankan tugas serta menyatakan perasaan syukur kerana mereka kembali ke tanah air dengan selamat.

Pehin Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih berserta jemputan-jemputan lain bergambar ramai dengan Pasukan IMT 11.
Pehin Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Mohd Tawih berserta jemputan-jemputan lain bergambar ramai dengan Pasukan IMT 11.
Salah seorang anggota IMT 11 bersama keluarga yang dicintai.
Salah seorang anggota IMT 11 bersama keluarga yang dicintai.

Kontinjen seramai lapan orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang anggota Pasukan Polis Diraja Brunei yang selamat pulang ke tanah air setelah selesai menjalankan tugas di Bandar raya Cotabato, Mindanao dialu-alukan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pemangku pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, para pemerintah Angkatan Tentera dan komandan, pengarah, pegawai kanan dan pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan dan ABDB serta ahli keluarga.

Kontinjen IMT ke-11 diketuai oleh Leftenan Kolonel Haji Huzaimi dan dianggotai Mejar (U) Pengiran Muhd Mujib bin Pengiran Haji Umar Ariffin, Mejar Mohd Azmi bin Mohd Taib, Kapten Mohd Asmafahmi Hazmin bin Haji Mohd Sultan, Kapten Abdul Aziz bin Haji Razali, Penolong Penguasa Polis Haji Mohd Termizi bin Dr Haji Mohd Yusop, Pegawai Waran 1 (L) Supian bin Suhaili, Pegawai Waran 2 Saiful Bahri bin Haji Latif dan Pegawai Waran 2 Pengiran Hashim bin Pengiran Abdul Rahman.

Kumpulan IMT ke-11 meninggalkan tanah air pada 5 September 2014.

ARTIKEL YANG SAMA