Wirna juarai BPL siri November

Wirna juarai BPL siri November

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Perlawanan akhir pertandingan Liga Petanque Brunei (BPL) 2016 bagi bulan ini menyaksikan pertemuan Wirna bin Haji Mohd Yassin dan Masli bin Haji Mohd said yang akhirnya berpihak kepada Wirna dengan mata 12-3 pada perlawanan di Gelanggang Petanque, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pertandingan BPL 2016 itu disertai seramai 26 orang pemain yang dibahagikan kepada lapan kumpulan bagi pusingan awal dan seterusnya 16 pemain layak ke pusingkan kedua dan seterusnya lapan pemain mara ke perlawanan pusingan ketiga.

Seterusnya empat pemain terbaik masuk ke perlawanan separuh akhir bagi kedudukan satu hingga empat. Tempat ketiga jatuh kepada Azmi Eddy bin Haji Harris setelah mengalahkan Hajah Norhaini binti Haji Dollah dengan mata13-10 dan dengan keputusan tersebut Wirna kini memperoleh 16 mata, Masli 15 mata, Azmi Eddy 14 mata dan Hajah Norhaini 13 mata.

Barisan pemenang pada kejohanan kali ini membawa pulang trofi dan juara bulan in menyarung jersi kuning kemenangan setelah kejayaannya pada bulan Ogos lalu. Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis iaitu Presiden Persekutuan Petanque Brunei Darussalam, Abdul Ghani bin Dato Paduka Haji Mohd Ali.

Dengan pencapaian bulan ini, kedudukan liga mata terkumpul 10 pemain terbaik bagi Pertandingan BPL 2016 setiap bulan sejak Julai itu kini diterajui oleh Mazlan bin Haji Yahya dengan 71 mata, diikuti oleh juara bulan ini di tempat kedua Wirna dengan 62 mata sementara Azmi Eddy di tempat ketiga dengan 56 mata.

Berada di tempat ke empat adalah Hamidun bin Haji Abdul Hamid (52 mata), Masli (51 mata) di tempat kelima diikuti oleh Junaidi bin Ali (39 mata) di tempat keenam, Hajah Norhaini (31 mata) di tempat ketujuh, Surtini binti Haji Abdin (27 mata) di tempat kelapan, Rani Saidin (26 mata) di tempat kesembilan dan Marhalim bin Haji Juni (18 mata) di tempat kesepuluh.

ARTIKEL YANG SAMA