Wirna juarai BPL siri Ogos 2016

Wirna juarai BPL siri Ogos 2016

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Wirna bin Haji Mohd Said dinobatkan sebagai juara Liga Petanque Brunei (BPL), siri Ogos 2016 anjuran Persekutuan Petanque Brunei Darussalam di Gelanggang Petanque Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, semalam.

Seramai 28 orang pemain dibahagikan kepada lapan kumpulan bagi pusingan awal dan seterusnya 16 pemain layak ke pusingan kedua dan seterusnya lapan pemain mara keperlawanan pusingan ketiga bagi siri Ogos 2016 sebelum empat pemain terbaik masuk ke perlawanan separuh akhir bagi merebut kedudukan pertama hingga keempat.

Perlawanan akhir menyaksikan Wirna bin Haji Mohd Yassin berhadapan Mazlan bin Haji Yahya yang akhirnya memihak kepada Wirna berjaya menewaskan Mazlan dengan mata 13-5.

Tampil di tempat ketiga adalah Masli bin Haji Mohd Said apabila beliau berjaya menewaskan Azmin Eddy bin Mohd Harris dengan mata 13-2 dan seperti lazimnya juara akan disarungkan jersey kuning BPL 2016 bagi pemenang bulan Ogos 2016.

Gambar ramai pemenang-pemenang BPL siri Ogos 2016. – Gambar oleh Persekutuan Petanque Brunei Darussalam
Gambar ramai pemenang-pemenang BPL siri Ogos 2016. – Gambar oleh Persekutuan Petanque Brunei Darussalam

Majlis penyampian hadiah kepada pemenang-pemenang disempurnakan oleh Setiausaha Agung Persekutuan Petanque Brunei Darussalam, Haji Rosmin bin Haji Mohd Hassan, yang hadir selaku tetamu kehormat.

Pada edisi Julai lalu, Wirna telah mengumpulkan 16 mata dan setelah kejayaan bulan ini, beliau berada di tangga teratas dengan 31 mata diikuti oleh pesaing terdekatnya Mazlan yang kini mengumpulkan 29 mata.

Masli pula terpaksa akur di tempat kelima dengan 24 mata apabila beliau dipintas oleh Hamidun bin Haji Abdul Hamid yang mengumpul 26 mata diikuti oleh Azmi Eddy dengan 25 mata di tempat keempat.