Wishere belum boleh kembali beraksi

Wishere belum boleh kembali beraksi

LONDON, 28 Dis – Jack Wilshere terpaksa berlawan dengan masa untuk kembali cergas sebelum Euro 2016 pada musim panas ini.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendedahkan dia terpaksa menyisihkan pemain tengah yang dibelenggu kecederaan itu paling tidak sehingga Februari depan berikutan proses pemulihan yang perlahan.

Pastinya, ia adalah satu kehilangan besar apalagi Wilshere yang patah kaki ketika sesi latihan sehari sebelum perlawanan Perisai Komuniti meletak harapan tinggi untuk kembali pulih pada sambutan Krismas.

Ia bermakna Wilshere tidak akan diturunkan musim ini dan kini terpaksa bergelut untuk pulih pada masa ditetapkan bagi menyertai skuad kebangsaan England bimbingan Roy Hodgson pada Euro 2016 di Perancis, musim panas ini.

Ia juga satu tamparan hebat buat pengurus England berkenaan yang tidak boleh menunggu Wilshere untuk tempoh yang lama dan pernah menyatakan yang dia mungkin perlu mencari alternatif lain.

Wenger berkata: “Dia (Wilshere) tidak akan beraksi sebelum Februari, itu pasti. Saya menyatakan Februari, namun jujurnya saya tidak tahu (sepatutnya pulih). Saya membiarkan proses pemulihannya. Ia bergerak secara perlahan.

“Apabila dia kembali berlatih, menemui sentuhannya semula, berusaha gigih daripada sudut fizikal, ia mungkin mengambil lima atau enam minggu, namun pada ketika itu, dia masih belum berada di tahap sebenarnya lagi.

“Bukan salah Jack apabila kami tewas kepada Southampton, lagipun dia tidak boleh bermain apabila pasukan berdepan Bournemouth nanti. Kami mempunyai dua tempoh kebimbangan jangka pendek dan kami perlu bertindak balas.”

Mathieu Flamini hampir pasti tidak diturunkan pada perlawanan berdepan Bournemouth awal pagi esok apabila dia bergelut dengan kecederaan buku lali. Theo Walcott dan Joel Campbell juga tidak boleh disenaraikan. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA