Wolff masih jauh daripada F1

Wolff masih jauh daripada F1

LONDON, 7 Mei (Reuters) – Susie Wolff (gambar) bakal memandu buat pasukan Williams pada sesi latihan Grand Prix Sepanyol esok, namun dia mengakui, impian untuk bergelar pemandu wanita pertama berlumba dalam Formula Satu (F1) selepas 40 tahun masih sangat jauh.

Pemandu Scotland itu menegaskan, dia sudah membuktikan keupayaan, namun malang sekali masih belum diberi kepercayaan.

“Saya sudah buktikan saya mampu menjadi pemandu yang kompetitif buat pasukan, saya memandu kereta yang mampu melonjakkan saya ke podium.

“Ya, saya sudah begitu hampir (dengan F1) tetapi masih sangat jauh daripada perlumbaan,” akuinya dengan nada kecewa.

Tahun lalu, Wolff, 32, menjadi tumpuan media di Silverstone selepas muncul pelumba wanita pertama beraksi dalam latihan bebas Grand Prix dalam tempoh 22 tahun.

2012 Chinese Grand Prix - Sunday

Jika Wolff diberi peluang berlumba di Litar de Catalunya ia akan menamatkan kemarau 40 tahun tanpa aksi wanita selepas kali terakhir Lella Lombardi dari Itali meraih tempat keenam pada Grand Prix Sepanyol 1975.

“Sewaktu mereka (Williams) mengumumkan (Adrian) Sutil sebagai pemandu gantian, itu memberi isyarat kepada saya bahawa impian saya (berlumba dalam F1) semakin jauh,” kata Wolff.

Williams memulakan musim ini tanpa pelumba gantian, kecuali pemandu uji, Wolff yang juga isteri kepada ketua permotoran Mercedes dan pemenang saham Williams, Toto. Sewaktu Valtteri Bottas mengalami kecederaan dan terlepas aksi pembuka tirai di Australia, Mac lalu Williams telah memilih Sutil sebagai gantian dan tidak menggunakan Wolff.