Wood mahu berikan saingan pada 2016

Wood mahu berikan saingan pada 2016

LOS ANGELES, 24 Dis (Reuters) – Usia Tiger Woods akan mencecah angka 40 seminggu lagi dan bekas pemain golf nombor satu dunia itu yakin mampu mengharungi musim 2016 tanpa kecederaan.

Woods adalah pemain terbaik generasinya dan mungkin sepanjang zaman, namun tahun ini kempennya dibelenggu masalah kecederaan dan kemerosotan prestasi yang menyaksikan kedudukannya dalam ranking dunia turut menjunam.

Juara major 14 kali itu gagal memenangi sebarang gelaran sejak Jemputan WGC-Bridgestone 2013 dan kejuaraan major terakhirnya ialah ketika Terbuka Amerika Syarikat 2008.

Dia memegang rekod paling lama berada di ranking tertinggi dunia, selama 683 minggu, tetapi kini tergelincir ke tangga 414.

Tiger Woods berharap tidak akan mengalami sebarang kecederaan sepanjang musim 2016. – Reuters
Tiger Woods berharap tidak akan mengalami sebarang kecederaan sepanjang musim 2016. – Reuters

Dengan 79 kejuaraan Jelajah PGA dalam koleksinya, Woods tetap yakin dia mampu meraih kemenangan dalam kejohanan major untuk tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

“Apa yang paling saya nanti-nantikan pada tahun depan ialah kembali beraksi semula, dan saya mahu melakukannya tanpa sebarang kecederaan.

“Sudah lama saya tidak berada dalam situasi sebegitu. Beberapa tahun lalu ia cukup baik bagi saya dan saya mahu mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

“Namun dalam masa terdekat ini, apa yang saya mahu ialah menonton filem ‘Star Wars: The Force Awakens’,” kata Woods.