Woodburn muncul penjaring termuda The Reds

Woodburn muncul penjaring termuda The Reds

LONDON, 30 Nov – Pemain remaja Liverpool, Ben Woodburn mencipta sejarah sebagai penyerang termuda The Reds untuk meledak gol ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Leeds pada aksi suku akhir Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.

Berumur 17 tahun dan 45 hari, Woodburn menikmati saat yang akan diingati buat selama-lamanya apabila meledak pada minit ke-81 di Anfield untuk menamatkan rekod yang sebelum ini dipegang Michael Owen.

Owen berusia 17 tahun dan 143 hari ketika dia menjaringkan gol menentang Wimbledon pada Mei 1997.

“Satu lagi rekod diambil dari saya !!! Tahniah BenWoodburn menjadi penjaring termuda untuk LFC pada usia 17 tahun dan 45 hari. #KopEnd,” Owen menulis di Twitternya.

Woodburn hanya membuat penampilan bersama pasukan senior Liverpool, Sabtu lalu sebagai pemain gantian ketika skuad itu menewaskan Sunderland dalam saingan Liga Perdana – penampilan yang meletakkannya sebagai pemain termuda ketiga pernah beraksi bersama skuad utama kelab itu.

Woodburn muncul penjaring termuda Liverpool setelah membantu Liverpool menang 2-0 ke atas Leeds United. – AP
Woodburn muncul penjaring termuda Liverpool setelah membantu Liverpool menang 2-0 ke atas Leeds United. – AP

Pemain kelahiran Cheshire yang baru-baru ini menandatangani kontrak jangka panjang dengan Liverpool, adalah pemain bawah 19 tahun Wales, tetapi dia masih layak bermain untuk England di peringkat senior.

“Ben, kita tahu betapa dia masih muda. Ia adalah satu kisah yang bagus dan semua pemain benar-benar gembira untuk dia,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

“Semua orang tersenyum dalam bilik persalinan.

Ia adalah saat yang baik untuk dia dan juga detik yang baik untuk kita,” katanya.

Selain itu, dalam satu lagi aksi suku akhir awal pagi tadi menyaksikan Hull City mara ke separuh akhir dengan menewaskan Newcastle United 3-1 menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat 1-1. – AFP