Woods bangkit

Woods bangkit

GAINESVILLE, AS, 2 Ogos (AFP) – Tiger Woods menyamai catatan terendahnya tahun ini apabila mengumpul lima di bawah par 66 sekali gus semakin hampir untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang sudah mencecah dua tahun di Kejohanan PGA Quicken Loans National.

Woods yang juga juara kejohanan utama sebanyak 14 kali itu, membenam birdie dari jarak 36 kaki di lubang terakhir untuk membolehkannya berkongsi kedudukan di tempat kelima menerusi catatan keseluruhan lapan di bawah 134 sepanjang 36 lubang, tiga pukulan di belakang pendahulu Ryo Ishikawa.

“Saya berada dalam kedudukan baik,” kata Woods. “Tak sabar beraksi di pusingan akhir esok (hari ini).”

Pada hari pertama, Woods mencatat 68 pukulan dan membenam empat birdie berturut-turut dan ia adalah catatan birdie terbaiknya sejak Kejohanan Jemputan WGC Bridgestone 2013 – acara terakhir yang dimenangi Woods.

“Saya rasa masih boleh bertanding dan menang,” kata Woods. “Saya pernah menjulang gelaran selaku Pemain Terbaik Tahunan. Saya hanya perlu terus bermain dan bertenang.”

Tiger Woods membuat pukulan pada lubang keenam Kejohanan PGA Quicken Loans National semalam. – AFP
Tiger Woods membuat pukulan pada lubang keenam Kejohanan PGA Quicken Loans National semalam. – AFP

Woods yang juga bekas pemain nombor satu dunia itu kini menduduki tangga ke-266, bergelut sepanjang tahun lalu dan dia membuat pelbagai perubahan ke atas gaya pukulannya.

“Saya tahu kedudukan saya dalam senarai pemain terbaik dunia menurun dengan teruk,” kata Woods. “Saya akan berusaha memperbaikinya.

“Saya pernah mengharungi masalah serupa sebelum ini. Ia pasti mengambil masa. Saya perlu bersabar. Saya tahu apa yang sedang saya lakukan. Ia hanyalah faktor masa sebelum saya kembali menyinar.”

Woods yang kali terakhir menjulang gelaran utama pada Terbuka AS 2008, mengumpul 79 gelaran PGA, tiga ketinggalan berbanding rekod sepanjang zaman yang dipegang Sam Snead.

Woods menyamai 66 pukulan di pusingan pertama kejohanan Greenbrier Classic dan ia adalah catatan terbaiknya tahun ini dan tidak pernah mencatat pukulan terendah sejak pusingan ketiga kejohanan Honda Classic, 16 bulan lalu.

“Peminat mahukan saya berubah secara drastik,” kata Woods. “Ia tidak boleh begitu. Saya perlu mengambil masa untuk membina semula kerjaya ini,” kata Tiger Woods selepas itu.

ARTIKEL YANG SAMA