Woods sudah insaf

Woods sudah insaf

LOS ANGELES, 12 Jun (AFP) – Tiger Woods tidak mahu berdegil lagi dan mula mendengar kata kedinya dalam usaha bangkit daripada kegagalan selepas mencatat pusingan terburuk sepanjang kariernya hujung minggu lalu.

Woods menempuhi hujung minggu yang mengecewakan tetapi permainannya terus menjunam Sabtu lalu apabila mencatat 13 atas par 85 pada Kejohanan Memorial.

“Joey (LaCava) sering memberitahu saya minggu sebelumnya, beliau sering mengingatkan saya, ‘Jangan terlalu memaksa diri, anda tidak banyak bermain golf akhir-akhir ini,” kata Woods ketika hari media pertandingan Quicken Loans.

“Anda tidak bermain tahun lalu dan tidak banyak bermain tahun ini. Pertandingan golf mengambil masa.

“Saya tidak suka menyatakannya bila beliau betul kerana sebagai pemain anda sentiasa mahu menjadi betul tapi beliau memang betul.”

Juara 14 kejohanan utama itu menamatkan empat pusingan di Muirfield Village di tempat tercorot dengan 14 atas par 302.

Dia juga terpaksa menahan malu apabila bermain secara bersendirian dan perlu mengalihkan tiang bendera sementara kedinya sibuk membantunya di bunker apabila pukulannya tersasar.

Penamat terbaiknya tahun ini adalah di tangga ke-17 pada Masters AS. Dia menyertai lima kejohanan musim ini termasuk menarik diri daripada Terbuka Farmers Insurance berikutan sakit belakang.

Kelmarin, Woods secara rasmi jatuh ke ranking 181 dunia dan kini di tangga 196 dalam mata playoff Piala FedEx.

Ranking dunia teruk bermakna dia tidak layak menyertai Kejohanan Jemputan WGC-Bridgestone Ogos ini dan perlu memperbaiki kedudukannya ke tangga ke-125 atau lebih baik bagi membolehkannya bermain pada kejohanan playoff FedEx.