Worawi berdepan dua pesaing

Worawi berdepan dua pesaing

BANGKOK, 25 Sept (Reuters) – Pentadbir berpengalaman Worawi Makudi bakal berdepan dua pencabar apabila beliau bertanding bagi jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) bulan depan dalam apa yang dilihat sebagai satu lagi persaingan sengit.

Bekas anggota jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) itu yang memegang kepemimpinan FAT sejak 2007 selepas 11 tahun sebagai setiausaha agung persatuan berkenaan, akan ditentang oleh bekas pengurus pasukan kebangsaan Vanasthana Sajakul dan ketua polis wilayah Pisan Jundilok.

Worawi, 63, yang gagal dalam bidaannya untuk menjadi Presiden Konfederasi Bola sepak Asia pada 2013, dianggap sebagai pilihan untuk memenangi pemilihan yang akan berlangsung pada 17 Oktober depan dan memegang jawatan itu untuk tempoh empat tahun lagi.

Beliau memenangi pemilihan FAT dua tahun lepas dengan menewaskan Virach Chanpanich tetapi kontroversi tercetus apabila Worawi dikenakan penggantungan selama 16 bulan oleh Mahkamah Thai pada Julai kerana sabit memalsukan dokumen untuk meminda statut FAT menjelang pemilihan berkenaan.

Worawi dilaporkan berkata beliau akan mengemukakan rayuan ke atas keputusan mahkamah itu. Bagaimanapun usaha mendapatkan ulasan beliau mengenai status rayuannya menemui kegagalan.

Thongchai Pornseth berkata tiada masalah seumpama itu akan timbul buat masa ini selepas dilantik sebagai ketua Suruhanjaya Pemilihan FAT.

“Saya beri jaminan pemilihan akan dijalankan dengan penuh adil,” beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar Bangkok Post hari ini.

Bagaimanapun, akhbar melaporkan bahawa Worawi sudah mengemukakan sama ke atas Vanasthana semalam dan memohon pampasan berjumlah 20 juta baht (AS$552,638.85).

Para peguam Worawi mendakwa Vanasthana pada minggu lepas ada membuat kenyataan bahawa FAT melanggar peraturan pemilihan pada 2013.