World Quran Hour di Masjid Hassanal Bolkiah Ahad ini

World Quran Hour di Masjid Hassanal Bolkiah Ahad ini

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Sept – Sebagai salah satu usaha mengagungkan Al-Quran di seluruh dunia termasuklah di negara ini, Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong yang dikelolakan oleh Kumpulan Belia Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong akan mengadakan World Quran Hour di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong pada Ahad ini. Orang ramai terutama belia-belia di daerah ini dialu-alukan hadir di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong bermula jam 8 pagi bagi menyertai program World Quran Hour iaitu salah satu program keagamaan bagi mengagungkan kitab suci Al-Quran seluruh dunia. Antara acara yang akan dijalankan itu nanti ialah menunaikan sembahyang sunat Hajat berjemaah, diikuti dengan penerangan ringkas mengenai World Quran Hour dan diikuti dengan bacaan Tilawah Al-Quran yang dimulakan oleh imam masjid bersama orang ramai yang hadir nanti.

Objektif acara ini diadakan adalah untuk memberikan sokongan dan sambutan baik terhadap program yang dianjurkan di seluruh dunia bagi World Quran Hour selain menjadi inisiatif mengajak masyarakat agar berinteraksi dengan Al-Quran dan mewujudkan suasana yang kondusif bagi pembangunan rohaniah para belia.