World #QuranHour platform perkukuh solidariti ummah

World #QuranHour platform perkukuh solidariti ummah

SHAH ALAM, 2 Ogos – Buat julung kalinya, program bacaan Al-Quran secara serentak selama satu jam di seluruh dunia dikenali sebagai World #QuranHour bertemakan ‘Cinta dan Syukur’ akan diadakan pada 11 Sept depan bermula 9 pagi.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata program yang menyasarkan penyertaan daripada seluruh umat Islam serata dunia itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan kempen #MalaysiaNgaji yang dianjurkan sejak tahun 2013.

Beliau berkata, World #QuranHour merupakan satu inisiatif dalam memupuk ummah yang berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran serta diharap menjadi satu platform solidariti umat Islam seiring meraikan kitab suci itu pada peringkat tertinggi.

“Setakat ini 117 buah negara dan ratusan persatuan serta gabungan Muslim daripada badan bukan kerajaan (NGO) telah memberi maklum balas positif untuk menyertai program ini selain turut menjangkakan penyertaan daripada kesemua 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Di India sahaja kita dimaklumkan seramai lapan juta rakyat negara itu akan sama-sama membaca Al-Quran dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas sesi perbincangan bersama perwakilan agensi media lain berkaitan penganjuran World #QuranHour, di sini, hari ini. Hussamuddin berkata, semua agensi media di negara ini juga bersetuju untuk memberi kerjasama dalam membuat liputan dan hebahan seterusnya memastikan kejayaan penganjuran program bertaraf global itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang berkata Bernama akan membantu mempromosikan World #QuranHour bagi menarik seramai mungkin penyertaan umat Islam dari dalam dan luar negara. Katanya, Bernama akan menggunakan segala platform media dimiliki seperti Bernama Radio, Bernama News Channel, laman sosial serta hubungan baik dengan pelbagai agensi lain untuk melakukan hebahan dan liputan terbaik.