World#QuranHour dekatkan hati pembaca

World#QuranHour dekatkan hati pembaca

KUANTAN, 11 Sept –Walaupun membaca Al-Quran sudah menjadi amalan harian Ali Ahmad Zain sejak sekian lama, tetapi hari ini lebih istimewa kerana dia duduk bersama kawan-kawan untuk membaca Surah Al-Haj bersempena World #QuranHour.

Pelajar berusia 27 tahun dari Hadramaut, Yaman, itu berkata surah tersebut amat dekat di hatinya kerana ketika ini bapanya, Ahmad Zain Bahamid, 52, dan ibunya, Hakimah Muhammad Saeed, 40, adalah antara berjuta-juta umat Islam yang berada di Mekah untuk menunaikan ibadah haji, rukun Islam kelima.

“Saya gembira apabila mereka memberitahu saya bahawa mereka akan ke Mekah tahun ini. Ini kali kedua bapa saya menunaikan ibadah haji dan kali pertama bagi ibu saya. Bapa saya sungguh bernasib baik. Saya berharap mereka tidak lupa berdoa agar saya juga dijemput ke Mekah nanti,” kata pelajar semester dua peringkat Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu kepada Bernama di sini hari ini.

Ali adalah antara mereka yang mengambil bahagian dalam World#QuranHour diUMP, yang dipimpin Pegawai Hal Ehwal Islam UMP Md Abdu Sahak untuk membaca Surah Al-Haj bersama-sama berjuta juta umat Islam di seluruh dunia selama sejam bermula 9 pagi.

Sekumpulan jemaah khusyuk membaca Al-Quran pada Program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh Malaysia semasa tinjauan fotoBernama di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, kelmarin. – Bernama
Sekumpulan jemaah khusyuk membaca Al-Quran pada Program World #QuranHour yang diadakan serentak seluruh Malaysia semasa tinjauan fotoBernama di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, kelmarin. – Bernama

Ali berkata walaupun belum berpeluang menunaikan ibadah haji,tetapi dia “mencari pahala dengan melakukan amalan baik lain dalam 10 hari pertama bulanZulhijjah yang penuh keberkatan, termasuk berpuasa hari ini, iaitu hari wukuf diArafah, bertakbir dan membaca Al-Quran serta memperbanyakkan amalan daripada biasa dan akan menunaikan ibadah korban.

“Saya berharap akan dapat membaca Al-Quran dengan sebanyak mungkin minggu ini. Saya tidak ada masalah untuk berbuat demikian,” katanya. – Bernama