Wozniacki ke suku akhir

Wozniacki ke suku akhir

NEW YORK, 5 Sept – Naib juara dua kali Terbuka Amerika Syarikat (AS), Caroline Wozniacki mara ke suku akhir buat kali kelima di sini dan mengakui dia lebih gembira tampil sebagai pemain bukan pilihan berbanding memegang status pemain nombor satu dunia.

“Saya fikir ia agak menyedihkan buat pemain yang terpaksa menentang saya di pusingan awal,” kata Wozniacki selepas melakar kemenangan 6-3, 6-4 ke atas pemain pilihan kelapan dari AS, Madison Keys.

Wozniacki yang memegang status pemain nombor satu dunia pada tahun 2010 dan 2011 menyaksikan rankingnya jatuh ke tangga ke-74 selepas dibelenggu masalah kecederaan pada awal musim 2016.

Pada edisi tahun lalu, Wozniacki tampil sebagai pilihan keempat di New York. Dia terpaksa berehat selama tiga bulan susulan kecederaan buku lali dialaminya. Dia terlepas aksi di Roland Garros menamatkan 36 penampilan berturut-turut dalam kejohanan Grand Slam dan menjadi mangsa kekalahan di pusingan pertama Terbuka Australia dan Wimbledon.

Caroline Wozniacki ketika membalas pukulan daripada pihak lawan. – AFP
Caroline Wozniacki ketika membalas pukulan daripada pihak lawan. – AFP

“Saya tahu bunyinya agak menyedihkan dengan apa yang saya harungi. Pada saat ini, saya tidak kisah berapa sekali pun kedudukan ranking saya.

“Tidak kira saya dalam kelompok 20 terbaik dunia atau 100 dunia, ia sama saja. Saya perlu berdepan dengan pemain yang sama juga. Paling penting prestasi saya di atas gelanggang,” katanya yang akan menentang pemain Latvia, Anastasija Sevastova dalam perebutan tempat ke separuh akhir. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA