WSC beroperasi minggu ini

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – White Screen Cinema (WSC) mengalu-alukan para penerbit atau pengarah filem di Negara Brunei Darussalam dan ASEAN untuk menayangkan filem-filem mereka di panggung baru yang bakal beroperasi dalam minggu ini.

Pengurus WSC, Dayang Nurain Abdullah dalam temu bual ringkas di pejabat WSC di Sungai Hanching, hari ini berkata, seruan berkenaan adalah antara cara untuk memberi peluang kepada para penggiat filem tempatan menayangkan filem-filem mereka dengan perjanjian antara pihak produksi dan WSC.

“Ini adalah platform terbaru untuk para penerbit atau pengarah untuk menayangkan produk filem mereka pada harga yang berpatutan. WSC juga dibukakan untuk tontonan orang ramai,” jelas Dayang Nurain.

Beliau menambah, selain tayangan di panggung wayang komersial di negara ini, WSC juga boleh dijadikan platform untuk tayangan peribadi mana-mana pihak yang berminat.

Katanya lagi, “Sebenarnya, selain filem-filem komersial yang diterbitkan oleh studio-studio filem besar, ada banyak lagi filem-filem bebas yang bagus tetapi tidak berpeluang untuk ditayangkan di pawagam di Brunei.

Suasana santai dan selesa panggung WSC yang boleh menampung sehingga 12 orang penonton untuk sekali tayangan.

“Jadi kami berharap dengan WSC, ia membuka ruang kepada filem-filem bebas dan juga peluang kepada orang ramai di Brunei dapat menonton pelbagai genre filem di samping memberi sokongan kepada pembikin filem secara langsung.”

“Kualiti tayangan di WSC menggunakan format Digital Cinema Package (DCP) sama seperti di pawagam komersil yang lain dan telah diluluskan oleh pihak jawatankuasa penapisan filem dan hiburan awam Negara Brunei Darussalam,” kata pemilik WSC, Awang Harlif Mohammad dalam temu bual berkenaan.

Beliau menyatakan platform baru ini memfokuskan filem-filem tempatan dan ASEAN dengan persetujuan kedua-dua pihak serta mengikut undang-undang perfileman.

“WSC boleh menampung 12 tempat duduk untuk sekali tayangan. Oleh itu pihak WSC juga bakal mengadakan sesi soal jawab bersama pengarah filem sama ada secara langsung atau menggunakan Skype tertakluk kepada pengarah filem masing-masing,” katanya lagi.

Penerbit, pengarah atau mana-mana pihak yang berminat hanya perlu menyediakan fail filem mereka dengan sarikata Bahasa Inggeris dan poster.

Sejurus selepas perbincangan dan perjanjian yang dipersetujui ditandatangani kedua-dua pihak, maka tarikh dan waktu tayangan akan dimaklumkan di media sosial.