Wu Chun duta selebriti Earth Hour Brunei

Wu Chun duta selebriti Earth Hour Brunei

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Acara Earth Hour Brunei akan diadakan pada hari Sabtu, 19 Mac 2016 ini yang bertempat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang bermula pada jam 8:30 malam sehingga 9:30 malam. Duta Earth Hour Brunei Darussalam, Sheikh Jamaluddin bin Sheikh Muhammad berkata, tahun ini, Earth Hour Brunei memperkenalkan selebriti tempatan, Wu Chun selaku Duta Selebriti Earth Hour Brunei dimana beliau akan menyertai acara itu nanti dalam usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran memupuk sikap penjimatan tenaga di negara ini.

Bercakap pada sidang media di Dewan Serbaguna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah petang tadi, Sheikh Jamaluddin menyatakan rasa gembira dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengurus Negara Earth Hour di Brunei, Mohd Rimey bin Haji Osman terhadap usaha beliau serta kumpulannya dalam melaksanakan Earth Hour Brunei sejak 2007 dan Negara Brunei Darussalam sekarang adalah salah satu daripada 170 buah negara yang berusaha untuk melindungi planet Bumi ini.

Earth Hour Brunei 2016 kini memberi tumpuan kepada kuasa setiap individu yang dapat membantu menangani perubahan iklim. Tahun ini, Earth Hour Brunei akan menggunakan Earth Hour untuk ‘Shine a Light on Our Forest’ dan ‘Shine a Light on Energy Saving’.

Sheikh Jamaluddin bergambar ramai bersama Wu Chun selaku Duta Selebriti Earth Hour Brunei 2016.
Sheikh Jamaluddin bergambar ramai bersama Wu Chun selaku Duta Selebriti Earth Hour Brunei 2016.

Menurut Mohd Rimey, hutan-hutan di Negara Brunei Darussalam memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh di samping bertindak sebagai penyerap karbon dioksida.

Ini juga boleh digabungkan dengan mengurangkan penggunaan tenaga yang merupakan keutamaan di negara ini.

Acara Earth Hour bertujuan meningkatkan kesedaran dan sama-sama berganding bahu dalam menjimatkan tenaga dengan mematikan lampu selama satu jam pada setiap penghujung bulan Mac bagi memberikan kesedaran atas perubahan iklim global. Antara aktiviti yang diadakan semasa acara tersebut ialah seperti ‘photo booth’, ‘human formation’, run dan banyak lagi.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang acara ini bolehlah melayari ke laman web www.earthhour.org.bn/EH2016 dan orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang dalam menyerikan lagi acara Earth Hour Brunei 2016.

ARTIKEL YANG SAMA