Wu Chun lawat pesakit strok

Wu Chun lawat pesakit strok

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Okt – Jabatan Pemulihan di Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah dipenuhi dengan tawa riang tatkala kakitangannya sibuk membuat persiapan bagi Aktiviti Kumpulan Terapeutik (TGA) yang akan diadakan pada November ini bersempena Hari Strok Sedunia.

Menurut kenyataan JPMC, hari ini, dengan persembahan sebelumnya menerima maklum balas yang positif dan hasil klinikal yang positif, jabatan itu memutuskan untuk membawa persembahan seterusnya lebih jauh dengan menganjurkan persembahan muzikal bertajuk ‘Sebuah Perjalanan’.

Dalam menyokong usaha itu, selebriti antarabangsa kelahiran Brunei, Wu Chun, baru-baru ini, telah mengadakan lawatan dalam kesibukan persiapan bagi acara berkenaan.

Wu Chun dipetik sebagai berkata, “Sejujurnya, sebelum Jabatan Pemulihan menghubungi, saya tidak banyak tahu mengenai strok. Ini merupakan kali pertama saya benar-benar menyentuh mengenai topik ini.

“Saya betul-betul gembira pihak jabatan melakukan sesuatu dan berusaha untuk membantu pesakit mereka. Mereka memerlukan banyak sokongan, bukan sahaja daripada keluarga tetapi juga persekitaran mereka,” tambahnya.

Wu Chun melawat kumpulan pesakit yang mengalami penyakit strok di pusat perubatan berkenaan.
Wu Chun melawat kumpulan pesakit yang mengalami penyakit strok di pusat perubatan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemulihan JPMC, Vivian Tie Suk Kee berkata, objektif projek berkenaan adalah untuk mewujudkan situasi dan persekitaran terbaik bagi membantu pesakit mengatasi ketidakupayaan mereka menerusi pemulihan penuh makna yang menanamkan semangat dan keazaman.

Projek ini, tambahnya, bermatlamat untuk menggalakkan dan memotivasikan pesakit-pesakit strok supaya terus bekerja ke arah mengurangkan ketidakupayaan mereka dan mencapai kehidupan lebih baik selepas mengalami strok yang melumpuhkan.

Dalam pada itu, Wu Chun juga telah meluahkan perasaannya selepas melawat pesakit strok, berkata, ‘Sebelum saya datang melawat mereka, saya fikir mungkin saya boleh beri mereka sedikit tenaga positif tetapi sebaliknya, saya salah merekalah yang memberi saya tenaga positif’.

“Walaupun mereka tidak dapat menggerakkan tangan mereka dengan baik, atau bercakap dengan betul, mereka dapat melakukan banyak perkara lain. Itu merupakan sesuatu yang saya rasa hasil daripada usaha gigih kakitangan pemulihan di JPMC, dalam membimbing dan membantu pemulihan mereka,” tambahnya.

Semasa lawatan itu, Wu Chun menyertai pesakit-pesakit strok dari Pusat Sains Neuro, Strok dan Pemulihan Brunei (BNSRC), semasa latihan nyanyian mereka dan membuat persiapan dekorasi. Beliau dapat mengalami sendiri kesukaran pemulihan pesakit strok dengan mereplikakan ketidakupayaannya menggunakan tangan dominan kanan dan mata kanan.

ARTIKEL YANG SAMA