Wu Chun ‘pikat’ pelancong

Wu Chun ‘pikat’ pelancong

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah mencatatkan peningkatan dua kali ganda kemasukan pelancong ke negara ini yang menggunakan penerbangannya sejak pelakon dan pengusaha terkemuka tempatan, Wu Chun, dilantik menjadi duta RB lebih setahun yang lalu.

Timbalan Pengerusi RB, Dermot Mannion menyatakan perkara ini ketika temu bual bersama media pada acara Sepetang Bersama Wu Chun di Pusat Marin, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, di sini, hari ini.

Menurut beliau, oleh sebab Wu Chun mempunyai ramai peminat dari China, sebahagian besar pelancong yang memasuki negara ini datang dari Tanah Besar China, Taiwan dan sekitarnya.

“Wu Chun ialah salah seorang pelakon dan pengusaha yang dikenali ramai yang menjadikan Brunei mula dikenali di mata dunia, beliau banyak membantu menaikkan industri pelancongan di negara ini dengan menarik pelancong dari luar negara dan RB akan terus menjadikan beliau sebagai duta jika persetujuan dibuat nanti untuk membantu negara ini meningkatkan jumlah pelancong dan membantu RB untuk menjadi penerbangan yang digemari,” ujar Dermot lagi.

Sementara itu, Wu Chun semasa sidang akhbar bersama media-media luar negara pula mengongsikan pengalaman beliau menggunakan perkhidmatan RB, diikuti mengenai tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di negara ini.

Wu Chun dan Dermont Mannion ketika berkesempatan bersama 50 peminat bertuah yang terpilih semasa jerayawara RB.
Wu Chun dan Dermont Mannion ketika berkesempatan bersama 50 peminat bertuah yang terpilih semasa jerayawara RB.
Wu Chun ketika berucap pada sidang media berkenaan.
Wu Chun ketika berucap pada sidang media berkenaan.

“Brunei merupakan destinasi yang sesuai bagi mereka yang memerlukan ketenangan bercuti, jauh dari kesibukan kota dan ingin bersantai bersama keluarga atau bersendirian,” jelasnya kepada media luar negara yang ingin mempromosikan negara ini.

Pada acara Sepetang Bersama Wu Chun itu, pelakon berkenaan meluangkan masa bersama 50 peminat bertuah yang terpilih semasa jerayawara RB di Shenzhen pada bulan Jun 2015 lalu, yang dianjurkan oleh RB dengan kerjasama Empire Hotel dan disokong oleh Jabatan Pelancongan Brunei, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.

Jerayawara RB bersama Wu Chun akan diadakan lagi di Shanghai pada 12 dan 13 September bagi memperkenalkan Brunei sebagai destinasi dengan perkongsian di pentas bersama Wu Chun tentang bercuti di Brunei dan pakej-pakej percutian yang ditawarkan oleh RB.

RB juga berharap agar dapat bekerjasama dengan lebih rapat lagi dengan pihak-pihak yang berkepentingan dalam mempromosikan Brunei sebagai destinasi pelancongan dan akan terus bekerjasama dengan Wu Chun dalam aktiviti-aktiviti strategi pemasaran.

ARTIKEL YANG SAMA