Wujud bandar angkasa

Wujud bandar angkasa

SERDANG, 3 Sept (Bernama) – Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2015-2030 adalah satu wawasan hebat yang menyeluruh, kata Pengarah Penyelidikan dan Teknologi Rolls-Royce Group, Prof Richard Parker.

Sambil memuji usaha kerajaan itu, beliau berkata pelan berkenaan turut merangkumi aspek seperti penyelenggaraan pesawat, reka bentuk dan sistem lain yang berkaitan.

“Saya mengalu-alukan dokumen (pelan induk) itu dan rancangan bagi mewujudkan sebuah Bandar Angkasa Malaysia. Malah, saya juga berbangga menjadi sebahagian daripadanya pada peringkat awal.

“Saya juga berharap agar panjang umur untuk melihat perkembangannya,” katanya.

Beliau yang turut menyuarakan rasa terujanya untuk bekerjasama dengan Malaysia, berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umumnya ‘Clean Sky, Green Sky – Innovation in Technology to Improve Our Environment’ (Langit Bersih, Langit Hijau – Inovasi Teknologi Bagi Memulihkan Alam Sekitar) pada Program Fakulti CEO@Universiti Putra Malaysia 2015 (UPM) di Fakulti Kejuruteraan UPM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pada Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi.

Pada Ogos lepas, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata kementerian itu bercadang mewujudkan sebuah bandar angkasa di negara ini bagi mendalami kajian bidang aeroangkasa, dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Idris berkata, acara program fakulti itu adalah sebahagian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang menyaksikan kalangan pakar industri menyampaikan syarahan di universiti.

“Ini akan memberi impak positif terhadap aspek pekerjaan selain mendedahkan mahasiswa kepada gambaran sebenar industri berkaitan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA