Wujud elemen sabotaj dalam pelaksanaan myIMMs – Zahid

Wujud elemen sabotaj dalam pelaksanaan myIMMs – Zahid

IPOH, 23 Mei (Bernama) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata pihaknya percaya wujud perbuatan sabotaj dalam pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) oleh Jabatan Imigresen.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beberapa nama telah dikenal pasti dan akan diumumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi serta Polis Diraja Malaysia.

“Tetapi jangan ingat tindakan itu telah dinoktahkan (selepas pengumuman nama), sebaliknya pemantauan sedang dilakukan sebab asasnya adalah jangan berlaku penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta melakukan sabotaj terhadap sistem sedia ada.

“Saya mempunyai pendirian daripada dahulu hingga sekarang, jika ada permasalahan yang dilakukan orang dalaman serendah dan setinggi mana pun (pangkat), tidak akan pernah terlepas daripada tindakan perundangan,” tegasnya.

Ahmad Zahid mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 pada 18 Mei lalu yang menyatakan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya terjejas.

Menurut laporan itu, kemudahan biometrik myIMMs bernilai RM10.3 juta telah dibekalkan dan dibayar, tetapi tidak dipasang dan diguna pakai di pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan juga rakyat Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA