Wujud mekanisme pemantauan

Wujud mekanisme pemantauan

PUTRAJAYA, 18 Nov – Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) perlu memberi pertimbangan serius terhadap pewujudan mekanisme pemantauan dan perlindungan bagi rantau ini, kata wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon.

Beliau berkata kerjasama ASEAN dalam menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia perlu terus berkembang dengan dipandu oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD) dan ia mesti berkembang dengan cepat.

“Sebagai sebuah keluarga, ASEAN akan lebih bersedia untuk menangani masalah sejak dari mula sebelum ia berkembang menjadi krisis di rantau ini yang mungkin sukar dikawal kemudian,” kata Bon dalam ucapan alu-aluannya pada perbincangan meja bulat Hari AHRD di Wisma Putra di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan inisiatif dalam perkembangan AHRD yang turut merangkumi penetapan dan huraian berhubung standard hak asasi manusia, penyesuaian hak asasi manusia dan pengukuhan institusi AICHR.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan Datuk Sudha Devi berkata Malaysia telah menyaksikan pengukuhan institusi itu dalam isu berkaitan hak asasi manusia, antaranya kesaksamaan gender, orang kurang upaya dan tanggungjawab sosial korporat.

Datuk Sudha Devi (dua kanan) bersama wakil Malaysia ke ASEAN Intergovernmental Commision on Human Rights (AICHR), Edmund Bon Tail (kanan) pada sesi fotografi ASEAN Human Rights Declaration Day Roundtable Discussion di Wisma Putra kelmarin. – Bernama
Datuk Sudha Devi (dua kanan) bersama wakil Malaysia ke ASEAN Intergovernmental Commision on Human Rights (AICHR), Edmund Bon Tail (kanan) pada sesi fotografi ASEAN Human Rights Declaration Day Roundtable Discussion di Wisma Putra kelmarin. – Bernama

Perbincangan meja bulat yang berlangsung sehari itu diadakan buat pertama kali bagi AICHR-Malaysia membincangkan isu berkaitan hak asasi manusia dalam ASEAN dan di Malaysia dengan semua pemegang taruh yang berkaitan – para pegawai kerajaan, anggota pertubuhan masyarakat sivil, pakar hak asasi manusia dan ahli akademik.

Bertemakan ‘4 Tahun Pencapaian AHRD, Cabaran dan Peluang’, topik yang dibangkitkan dalam perbincangan meja bulat itu termasuk pemerdagangan orang, hak kepada air bersih untuk diminum dan sanitasi, hak pekerja migran dan hak untuk hidup.

Perkumpulan ASEAN terdiri dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Negara anggota ASEAN menerima pakai AHRD pada 18 November 2012 di Phnom Penh. – Bernama