Wujudkan sistem pengurusan kutipan hasil yang cekap

Wujudkan sistem pengurusan kutipan hasil yang cekap

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) disaran untuk mewujudkan satu sistem pengurusan kutipan hasil yang cekap dan berkesan berikutan isu berkaitan dengan kegagalan penguatkuasaan kutipan cukai bangunan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam  bertitah menyarankan perkara ini semasa lawatan kerja Baginda ke KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, di sini kelmarin.

Baginda bertitah, banyak cukai pintu yang tidak dituntut menyebabkan tertunggak dalam kalangan orang-orang kenamaan dan berkedudukan tinggi di mana kebanyakan cukai-cukai pintu itu hanya dituntut dan dapat diambil dalam kalangan orang-orang bawahan sahaja.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga difahamkan bahawa KHEDN telah menyediakan kertas cadangan polisi pelaksanaan skim insentif pengecualian dan bantuan cukai bangunan (Rates Relief Scheme) di Negara Brunei Darussalam.

Baginda Sultan berkenan mempengerusikan mesyuarat semasa lawatan kerja ke KHEDN, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan mempengerusikan mesyuarat semasa lawatan kerja ke KHEDN, kelmarin.

Bertitah mengenai isu cukai bangunan di kawasan perbandaran, Baginda Sultan seterusnya menekankan, walaupun banyak kelemahan yang telah dikenal pasti sebagai punca penyebab kelemahan dalam proses tuntutan dan kutipan cukai bangunan, apa yang penting sebarang penelitian semula ke atas kadar cukai bangunan hendaklah memberi tumpuan ke arah menjadikan kawasan perbandaran sebagai antara penyumbang utama kepada aktiviti perekonomian di negara ini.

Baginda seterusnya bertitah menekankan agar penguatkuasaan pula hendaklah diperketatkan dan ditekankan kepada pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan termasuk pegawai pengawal dan yang penting mesti ada undang-undang untuk mendakwa sesiapa sahaja yang gagal berbuat demikian.

“Beta mahu KHEDN untuk meneliti semula cadangan ini dengan membuat perundingan dan penyelarasan bersesuaian dengan pihak-pihak berkepentingan dalam kerajaan beta, Jabatan Tenaga (Energy) dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan,” titah Baginda.

ARTIKEL YANG SAMA