Wujudkan staf minda kelas pertama

Wujudkan staf minda kelas pertama

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Lebih 30 pegawai dan kakitangan yang baru berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghadiri Program Kursus Induksi untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda sebagai warga perkhidmatan awam.

Sepanjang kursus tersebut mereka didedahkan kepada beberapa topik antaranya ialah Kefahaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang disampaikan oleh Awang Mohd Norhadi bin Pengiran Haji Bungsu, dari Pusat Dakwah Islamiah.

Sebelum itu, para pegawai dan kakitangan diberikan penerangan mengenai kesalahan umum dalam Bahasa Melayu yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, Hajah Sariani binti Haji Ishak. Dalam penerangan itu beliau antara lain menyentuh mengenai dengan fungsi dan peranan DBP, iaitu memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu dan tulisan jawi di negara ini, memberikan khidmat kebahasaan khususnya Bahasa Melayu yang merangkumi aspek tatabahasa, Istilah, terjemahan, jawi dan ejaan serta meningkatkan dan menyebarluaskan penggunaan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

Program Kursus Induksi tersebut berlangsung selama 4 hari, dan mengandungi tiga segmen iaitu, Kefahaman Mengenai Falsafah Negara Melayu Islam Beraja, Negara Zikir dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, segmen kedua ialah Tugas dan Tanggungjawab serta Sistem Pentadbiran Kerajaan mengenai Peraturan-Peraturan Asas dalam Perkhidmatan Awam dan segmen ketiga ialah Tugas dan Tanggungjawab Bahagian-Bahagian di Jabatan DBP.

Penerangan mengenai kesalahan umum dalam Bahasa Melayu yang disampaikan oleh Dayang Hajah Sariani.
Penerangan mengenai kesalahan umum dalam Bahasa Melayu yang disampaikan oleh Dayang Hajah Sariani.
Antara pegawai dan kakitangan yang baru berkhidmat di DBP ketika  menghadiri Program Kursus Induksi tersebut.
Antara pegawai dan kakitangan yang baru berkhidmat di DBP ketika menghadiri Program Kursus Induksi tersebut.

Kursus tersebut juga merupakan salah satu usaha jabatan ke arah membentuk dan seterusnya membolehkan pegawai dan kakitangan yang baru berkhidmat meraih kefahaman mengenai tatacara peraturan-peraturan asas dalam perkhidmatan awam serta pembentukan jati diri tatkala menghadapi cabaran dan harapan pelanggan.

Ia juga bagi memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotisme kepada pegawai dan kakitangan supaya lebih berketerampilan dan berkemampuan dalam menyesuaikan diri sebagai penjawat perkhidmatan awam sekali gus menerapkan nilai budaya kerja cemerlang agar pegawai dan kakitangan dapat memberikan penyampaian perkhidmatan dengan cekap serta berkesan dan seterusnya menjurus ke arah penyediaan kakitangan yang mantap dan berkualiti.

Kursus tersebut juga bermatlamat menyediakan pegawai dan kakitangan yang mempunyai minda kelas pertama selaras dengan matlamat ke arah merealisasikan Wawasan Negara 2035.

ARTIKEL YANG SAMA