Wushu negara idam pingat

Wushu negara idam pingat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Pasukan Wushu Negara Brunei Darussalam menaruh harapan tinggi untuk meneruskan pencapaian baik dalam penyertaan di pertandingan-pertandingan wushu serantau dan antarabangsa di mana kontinjen terus menunjukkan prestasi yang baik dengan berjaya membawa pulang pingat dalam kejohanan dan pertandingan yang disertai.

Oleh itu, pasukan wushu negara berharap untuk terus mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat apabila menyertai Pertandingan Pesta Wushu China-ASEAN ke-8 yang akan berlangsung bermula 4 hingga 9 Disember di Liuzhou, Guangxi, China.

Negara Brunei Darussalam diwakili oleh seramai sembilan atlet wushu dan diketuai oleh jurulatih wushu negara, Li Hui di mana beliau berkata bahawa atlet-atlet negara telah membuat persiapan yang rapi dan mereka mempunyai keyakinan yang tinggi serta mampu untuk memberikan saingan yang hebat kepada para peserta yang akan menyertai kejohanan itu nanti.

Pasukan Wushu bersama jurulatih, Li Hui, akan beraksi di Pertandingan Pesta Wushu China-ASEAN ke-8 yang berlangsung di Liuzhou Guangxi, China.
Pasukan Wushu bersama jurulatih, Li Hui, akan beraksi di Pertandingan Pesta Wushu China-ASEAN ke-8 yang berlangsung di Liuzhou Guangxi, China.

Kontinjen atlet negara itu juga dibarisi oleh atlet-atlet yang berpengalaman yang pernah beraksi di kejohanan atau pertandingan di luar negara dan peluang beraksi di pertandingan serantau atau luar negara memberikan mereka pendedahan yang baik supaya mampu menimba pengalaman untuk meningkatkan lagi mutu persembahan.

Pertandingan yang akan menyaksikan pasukan-pasukan wushu dari China, Hong Kong, Macau dan negara-negara ASEAN itu dianjurkan oleh Persatuan Wushu China dan Pentadbiran Sukan Guangxi, China di mana para peserta akan mengambil bahagian dalam kategori seni mempertahankan diri tradisional China dan kategori menggunakan peralatan tradisional.

ARTIKEL YANG SAMA