X9, X9 Plus, Xplay6

X9, X9 Plus, Xplay6

VIVO, baru-baru ini di China, telah mendedahkan tiga telefon pintar Android terbarunya, X9, X9 Plus dan Xplay6 yang mengetengahkan ciri-ciri tetapan dua kamera yang semakin popular pada peranti-peranti mewah kini.

Vivo X9 dan X9, kedua-duanya mempunyai tetapan dua kamera di depan, iaitu kamera 20 megapiksel dengan sensor Sony IMX376 dan apertur f/2.0, di samping kamera 8 megapiksel. Manakala itu, bahagian belakang pula terdapat kamera 16 megapiksel dengan PDAF.

Bagi spesifikasinya, Vivo X9 menonjolkan paparan Super AMOLED HD-penuh (1080×1920 piksel) 5.5 inci dan dikuasakan dengan pemproses lapan teras Qualcomm Snapdragon 625 (MSM8953) berkelajuan 2GHz yang dipadankan dengan RAM 4GB serta akan terdapat dalam model storan 64GB dan
128GB.

Di samping itu, peranti dual SIM ini beroperasi menggunakan FuntouchOS 3.0 berasaskan Android 6.0 Marshmallow, menonjolkan pengimbas cap jari pada punat utama dan disokong dengan bateri 3050mAh yang didatangkan dengan sokongan pengecasan pantas.

KANAN: Tarikan terbesar Vivo X9 adalah tetapan dua kamera depan yang pastinya akan dapat menganbil selfie yang lebih baik.
Tarikan terbesar Vivo X9 adalah tetapan dua kamera depan yang pastinya akan dapat menganbil selfie yang lebih baik.
KIRI: Vivo X9 Plus juga menampilkan tetapan dua kamera depan namun model ini mempunyai saiz lebih besar.
Vivo X9 Plus juga menampilkan tetapan dua kamera depan namun model ini mempunyai saiz lebih besar.
KANAN: Vivo Xplay6 pula menampilkan tetapan dua kamera belakang dengan paparan melengkung.
Vivo Xplay6 pula menampilkan tetapan dua kamera belakang dengan paparan melengkung.

Mempunyai ukuran 152.6x74x6.9mm dan berat 154g, X9 menyokong rangkaian 4G dengan VoLTE, Wi-Fi, Bluetooth, GPS/ A-GPS dan Mikro-USB.

Vivo X9 Plus pula merupakan model lebih besar berbanding X9, dengan menonjolkan paparan IPS HD-penuh (1080×1920 piksel) 5.88 inci. Ia dikuasakan dengan pemproses lapan teras Qualcomm Snapdragon 653 (MSM8976 Pro) berkelajuan 1.4GHz yang dipadankan dengan RAM 6GB, serta hanya akan terdapat dalam model storan 128GB.

Peranti dual SIM ini juga menggunakan FuntouchOS 3.0 yang berasaskan Android 6.0 Marshmallow, menonjolkan sensor cap jari pada punat utama, disokong bateri besar 4000mAh dengan pengecasan pantas dan mempunai ukuran 162x79x7.4mm dan berat 199g.

Sementara itu, Vivo Xplay6 pula menampilkan tetapan dua kamera belakang iaitu kamera 12 megapiksel dengan sensor Sony IMX362, PDAF, apertur f/1.7 dan denyaran LED dua tona, di samping kamera ke-dua 5 megapiksel. Di bahagian depan pula terdapat kamera 16 megapiksel dengan apertur f/2.0.

Selain itu, telefon pintar ini mengetengahkan paparan melengkung resolusi Super AMOLED Quad HD (1440×2560 piksel) bersaiz 5.46 inci dan dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 820 yang dipadankan dengan RAM 6GB, serta akan terdapat dalam model storan 128 GB sahaja.

Menggunakan FuntouchOS 3.0 berasaskan Android 6.0 Marshmallow dan menyokong dual SIM, peranti ini menonjolkan pengimbas cap jari pada punat utama, disokong bateri besar 4080mAh dengan pengecasan pantas dan mempunyai ukuran 153.8×73.5×8.4mm serta berat 178g

Telefon pintar ini menyokong sambungan 4G dengan VoLTE, Bluetooth, Wi-Fi, 3G dan Mikro-USB.