Xi akan sertai sidang Afrika

Xi akan sertai sidang Afrika

JOHANNESBURG, 2 Dis (AFP) – Para pemimpin Afrika dan Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan rundingan dua hari di Johannesburg bermula Jumaat ini ketika benua itu berusaha untuk menjamin pelaburan besar-besaran meskipun ekonomi China dalam keadaan lembap.

Beberapa perjanjian dijangka akan diumumkan bagi projek loji tenaga, infrastruktur dan pertanian.

China memacu ledakan komoditi ketika ia membeli minyak, bijih besi, uranium dan tembaga dari seluruh dunia beberapa dekad yang lalu, namun pertumbuhannya menurun tahun ini, mencetuskan kemerosotan pada harga.

Bercakap kepada para wartawan di Beijing, pemangku menteri hal ehwal luar negeri, Zhang Ming menggelar ‘kebiasaan baru’ China sebagai satu rahmat kepada Afrika, mengatakan benua itu kini diambang ‘peringkat awal pengindustrian’.

“Kerjasama China-Afrika kini berada pada peringkat di mana ia perlu untuk dikemaskinikan dan ditransformasikan,” katanya.

“Retoriknya kemungkinan akan menjadi lebih bersemangat, seperti biasa. Anda perlu memisahkan antara retorik daripada realiti,” kata profesor perhubungan antarabangsa di Universiti St Andrews, Ian Taylor memberitahu AFP.

“Kami sepertinya akan melihat lebih banyak titik pertemuan penting antara China dan Afrika.”

Xi akan mengadakan rundingan dengan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma di Pretoria hari ini sebelum Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) ke-6 dimulakan di pusat konvensyen di daerah kewangan Sandton, Johannesburg.

“Pakej China ke arah Afrika akan menjadi lebih pelbagai,” kata Yun Sun, pakar China di persatuan penyelidikan Brookings yang berpangkalan di Amerika Syarikat.