Xi beri amaran ‘omong kosong’ di Kemuncak G20

Xi beri amaran ‘omong kosong’ di Kemuncak G20

HANGZHOU, China, 4 Sept – Pemimpin kuasa-kuasa dunia terbesar hari ini bertemu untuk cuba menghidupkan semula ekonomi dunia yang merudum, dengan hos mereka Presiden China, Xi Jinping menggesa mereka mengelak ‘omong kosong.’

Xi mengalu-alukan setiap presiden dan perdana menteri ke Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) dengan berjabat tangan dan berpelukan dengan Barack Obama, kedua-duanya tersenyum di sebalik protokol agak kalut pada ketibaan pemimpin AS itu.

Dalam dewan persidangan meja bulat di Hangzhou—sebuah bandar berpemandangan cantik yang sunyi akibat operasi keselamatan besar-besaran—Xi memberitahu mereka bahawa G20 ‘seharusnya diusahakan dengan tindakan sebenar, bukannya hanya cakap-cakap kosong sahaja.’

China berharap satu mesyuarat berjaya akan memberikan gambaran bahawa ia sebuah negara berkeyakinan dan berkuasa yang bersedia untuk memegang peranan di peringkat antarabangsa, sesuai dengan statusnya sebagai ekonomi kedua terbesar dunia.

Pihak berkuasa menutup beribu-ribu kilang dalam usahanya untuk cuba memastikan langit cerah daripada asbut dan menggalakkan penduduk untuk meninggalkan bandar itu dalam percutian percuma, dan juga menahan berpuluh-puluh penentang untuk mencegah sebarang petanda kekacauan.

Presiden AS Barack Obama, barisan hadapan (tiga dari kiri) dan Presiden China, Xi Jinping (dua kanan) serta pemimpin-pemimpin dari negara lain melambai ketika sesi foto berkumpulan bagi Sidang Kemuncak G20 di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou, wilayah Zhejing, China. – AP
Presiden AS Barack Obama, barisan hadapan (tiga dari kiri) dan Presiden China, Xi Jinping (dua kanan) serta pemimpin-pemimpin dari negara lain melambai ketika sesi foto berkumpulan bagi Sidang Kemuncak G20 di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou, wilayah Zhejing, China. – AP

G20 menghimpunkan perwakilan 85 peratus daripada KDNK dunia dan dua pertiga populasinya. Namun pakar menjangkakan perhimpunan itu kekurangan isi kerana tiada krisis runcing yang mendesak pemimpin-pemimpin untuk mencabar sentimen populis yang semakin meningkat dan mengambil langkah-langkah rumit seperti meliberalisasikan perdagangan.

Sidang kemuncak itu bagaimanapun didahului dengan pelbagai isu diplomatik bermula daripada perubahan iklim dan peperangan di Syria sehinggalah perdagangan antarabangsa.

AS dan China semalam meratifikasikan Perjanjian Iklim Paris, satu langkah pen-ting yang menguatkuasakan perjanjian membanteras pemanasan global.

Manakala dalam perang berpanjangan di Syria, ia mulanya membawa sedikit harapan apabila AS mengatakan ia hampir mencapai satu perjanjian dengan Rusia bagi mengekang keganasan.

Walau bagaimanapun, rundingan antara Setiausaha Negara AS John Kerry dan rakan sejawatannya, Sergei Lavrov hanya mencapai persetujuan untuk menyambung rundingan pada Isnin, dengan Rusia dituduh ‘berdalih-dalih dalam beberapa isu utama.’

Moscow dan Washington menyokong pihak bertentangan dalam konflik itu yang tercetus dalam Mac 2011 selepas Presiden Bashar al-Assad melancarkan satu tindakan keras ke atas revolusi pro-demokrasi.

Beberapa pusingan rundingan antarabangsa gagal untuk menamatkan konflik yang mengakibatkan lebih daripada 290,000 orang mati dan memaksa berjuta-juta lagi melarikan diri, satu punca utama menyumbang kepada aliran penghijrah ke Eropah.

Presiden EU Donald Tusk mengatakan Eropah ‘hampir kepada hadnya’ dalam keupayaannya menerima gelombang baru pelarian dan menggesa masyarakat antarabangsa lain untuk berkongsi menggalas bebanan itu. – AFP