Xi lawat Kemboja, kukuhkan hubungan

Xi lawat Kemboja, kukuhkan hubungan

PHNOM PENH, Kemboja, 13 Okt – Presiden China Xi Jinping hari ini memulakan lawatan dua hari ke Kemboja, di mana beliau akan memperkukuh hubungan yang telahpun mantap dan menyaksi pemeteraian 30 perjanjian.

Ia merupakan lawatan pertama Xi ke negara Asia Tenggara miskin itu sejak beliau menjadi pemimpin negara. Beliau dijangka bertemu dengan Raja Norodom Sihamoni dan Perdana Menteri Hun Sen.

Hun Sen berkata sekurang-kurangnya 28 perjanjian koperasi, terutamanya merangkumi ekonomi, pelaburan, pertanian dan infrastruktur, dijangka ditandatangani ketika lawatan Xi.

China merupakan sekutu dan rakan ekonomi utama Kemboja, membekalkan berjuta-juta dolar dalam bantuan dan pelaburan sejak satu dekad lalu. China telah memberikan Kemboja status bebas tarif ke atas beratus barangan perniagaan dan menghapus kira hutangnya. Beijing memberikan hampir AS$600 juta dalam bantuan untuk menyokong infrastruktur, pendidikan dan kesihatan Negara.

Xi Jinping (Kiri) berjabat tangan dengan Hun Sen (kanan) semasa mesyuarat di Peace Palace di Phnom Penh kelmarin. – AFP
Xi Jinping (Kiri) berjabat tangan dengan Hun Sen (kanan) semasa mesyuarat di Peace Palace di Phnom Penh kelmarin. – AFP

Sebagai balasan, Kemboja menyokong China dalam forum antarabangsa, termasuk dalam perbalahan Beijing yang berterusan dengan negara Asia Tenggara lain di Laut China Selatan.

Keselamatan adalah ketat untuk ketibaan Xi di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, di mana beberapa ratus pelajar berdiri di kedua-dua belah jalan raya untuk menyambut presiden dan rombongannya dengan melambai potret Xi dan mengibar bendera kedua-dua negara. Beberapa ribu kakitangan keselamatan juga telah dihantar di sepanjang jalan raya di ibu negara. – AP

ARTIKEL YANG SAMA