XII Brothers, DST ke fasa kalah mati

XII Brothers, DST ke fasa kalah mati

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – XII Brothers dan DST FC masing-masing mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati Futsal Piala Perdana TelBru 2015 setelah menang perlawanan ketiga dan terakhir kelmarin.

Perlawanan kedua di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) kelmarin itu menyaksikan XII Brothers tidak menghadapi masalah untuk menewaskan TelBru apabila berjaya membolosinya 10 kali untuk menang 10-1.

Perlawanan pertama antara Hawa dengan DST kelmarin sangat menghiburkan penonton dengan sajian sembilan gol antara keduanya bermula dengan Mohd Haziq untuk Hawa mendahului 1-0, tetapi pada minit ke-10 kedudukan menjadi seimbang 1-1 apabila Mohd Azmy meyumbangkan gol buat DST.

Separuh masa pertama berakhir 3-2 yang memihak kepada Hawa menerusi tambahan dua jaringan Mohd Irwan pada minit ke-15 dan kemudiannya Mohd Farith pada minit ke-19. DST FT hanya berjaya menambah satu jaringan melalui ledakan Mohd Akid pada minit ke-19.

DST berjaya menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-31 dengan gol Mohd Nasri dan selang seminit kemudian DST menerajui buat pertama kali apabila rembatan Mohd Aliuddin menerjah gawang Hawa untuk berada di depan dengan 4-3.

Mohd Khairuddin menjaringkan gol keenam XII Brothers (kuning) semasa menentang TelBru semalam.
Mohd Khairuddin menjaringkan gol keenam XII Brothers (kuning) semasa menentang TelBru semalam.

Empat minit sebelum perlawanan berakhir, kedua-dua pasukan masing-masing berjaya menjaringkan satu gol yang dijaringkan oleh Mohd Irwan untuk Hawa FT dan Mohd Sharif untuk DST FC untuk keputusan muktamad DST FC menang 5-4 ke atas Hawa FT.

Pertembungan antara XII Brothers dengan TelBru selepas itu pula agak pelik apabila separuh masa pertama berakhir dengan pendahuluan tipis 2-1 XII Brothers, cuma untuk XII Brothers mengamuk di separuh masa kedua dengan catatan lapan jaringan tanpa balas.

Mohd Azyzan menyumbat dua gol awal XII Brothers pada minit ke-11 dan ke-14, manakala gol tunggal TelBru tercipta pada minit ke-17 menerusi jaringan Mohd Azmi.

Mohd Sofiyudin mencetak dua gol peribadi pada minit ke-21 dan ke-22 sebelum Mohd Nizamuddin menjadikan kedudukan 5-1 pada minit ke-23. Lima lagi gol XII Brothers terhasil selepas minit ke-30, bermula dengan rembatan Mohd Khairuddin pada minit ke-31.

Mohd Nur Azreen menjadikan kedudukan 7-1 pada minit ke-34, disusuli jaringan Khairul Shahminan pada minit ke-36 dan kemudiannya Awangku Ahmad Redzuan menambah jaringan XII Brothers pada minit ke-38. Pada minit ke-39 Awangku Md Nizamuddin mencatat gol kedua peribadi untuk menamatkan perlawanan pada kedudukan 10-1.