XN FT, Al-Idrus berentap di final Piala Presiden VFA

XN FT, Al-Idrus berentap di final Piala Presiden VFA

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Mampukah Pasukan XN FT meraih kejuaraan berganda seperti pada 2013 setelah menjulang Piala FA Persatuan Bola Sepak Veteran Kebangsaan hujung minggu lalu? Semua persoalan in akan terungkai esok apabila Pasukan XN FT menentang Pasukan Al-Idrus buat kali kedua pada final Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Veteran Kebangsaan DST 2016 di Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan, Berakas esok malam.

Ekoran perlawanan akhir itu, wakil media berpeluang membuat tinjauan kepada pihak finalis yang bakal berentap besok malam, menurut Pengurus Pasukan Al-Idrus, Awangku Kanzul Shah bin Pengiran Haji Damitahmad menegaskan pasukannya akan mencuba sebaik mungkin untuk menebus kekalahan minggu lalu.

“Pada malam Sabtu ini nanti kami akan kekalkan pemain yang sama sewaktu final Piala FA kerana kami melihat hanya beberapa kesilapan yang perlu diberikan perhatian dan saya yakin para pemain akna mampu menunjukkan permainan yang lebih baik besok,” ujar beliau.

Menurut beliau, jangkaan perlawanan esok adalah 50/50 memandangkan kedua-dua pasukan mempunyai pemain yang seimbang dan padanya meskipun tewas minggu lalu beliau yakin pemain menunjukkan aksi yang terbaik.

“XN adalah pasukan yang bagus dalam semua aspek dan pada saya permainan kami seimbang pada sepenuh masa meskipun beberapa kesilapan dimanfaatkan pihak lawan untuk membolehkan mereka menjulang piala FA hujung minggu lalu,” tambahnya lagi.

Pasukan Al-Idrus bersama sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi VFA.
Pasukan Al-Idrus bersama sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi VFA.
Pasukan XN FT.
Pasukan XN FT.

Selepas perlawanan minggu lalu, Ketua Pasukan XN FT, Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliuddin menegaskan mereka bersyukur dengan kejayaan walaupun banyak peluang diperoleh tidak dapat dimanfaatkan pada kedua-dua babak perlawanan.

“Kami banyak menghidu kesilapan Pasukan Al-Idrus untuk membuat serangan pantas dan saya yakin perlawanan minggu lalu itu adalah medan percubaan untuk merangkul kejuaraan pada final piala presiden hujung minggu ini,” tegasnya lagi.

XN FT berhadapan tugas besar dalam sejarah Piala Presiden apabila berjaya menjuarai piala berkenaan tiga kali berturut-turut iaitu pada 2013, 2014 dan tahun lalu dan persoalannya adakah XN FT akan berjaya menjuarainya buat kali keempat, semua akan terjawab selepas perlawanan esok. Bakal hadir menyaksikan perlawanan akhir itu dan seterusnya dijangka menyampaikan hadiah di akhir perlawanan adalah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Juara, naib juara dan tempat ketiga bersama Piala Presiden akan membawa pulang wang tunai, piala pusingan, piala iringan dan pingat.

ARTIKEL YANG SAMA