XN FT berpesta gol benam Cle’as FT

XN FT berpesta gol benam Cle’as FT

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – XN FT menunjukkan belangnya apabila meranapkan dan sekali gus membelasah Pasukan Cle’as FT di Kompleks Sukan Sungai Kebun di dalam Kejohanan Bola Sepak Veteran Kebangsaan DST 2016-Piala Presiden hari ini

Dalam perlawanan tersebut, XN FT yang diketuai oleh Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mempamerkan aksi cemerlang dengan serangan bertubi mereka yang membolehkan gawang Cle’as dibolosi enam kali untuk memastikan tiga mata penuh diperoleh dengan selesa.

Jaringan pertama dicetak pada minit ke-21 oleh Awang Shahrin Momin, diikuti dengan gol kedua yang dijaringkan oleh Lim Seu Hui 10 minit sebelum wisel separuh masa pertama ditiup dengan kedudukan 2-0 kelebihan berpihak kepada Pasukan XN.

Antara aksi ketika XN FT Membelasah Cle’as FT dengan jaringan 6-0 hari ini.
Antara aksi ketika XN FT Membelasah Cle’as FT dengan jaringan 6-0 hari ini.

Di sebalik percaturan Cle’as pada babak kedua yang tidak membuahkan hasil, kemaraan Pasukan XN terus berjaya menguasai perlawanan dengan gawang Pasukan Cle’as begitu mudah dibolosi oleh pemain yang tidak asing lagi Lieu Chuan Fue pada minit ke-70.

Selang 10 minit kemudiannya, Awang Saiful bin Abdul Hamid membariskan dirinya dalam senarai penjaring apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-80 dan sekali lagi seminit kemudiannya menjadikan kedudukan 5-0.

Ketua Pasukan XN FT, Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliuddin memanfaatkan peluang dari titik penalti apabila menjaringkan gol mengalahkan penjaga gawang Cle’as FT pada minit ke-89 pada akhir babak kedua di sini menjadikan kemenangan mutlak kepada XN FT dengan jaringan 6-0 ke atas Cle’as FT.