XN FT dalam laluan juara

XN FT dalam laluan juara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – XN FT kekal dalam laluan menjuarai Piala Presiden Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan DST tiga tahun berturut-turut apabila berjaya melepasi separuh akhir petang ini setelah mengalahkan pasukan yang baru sahaja dimahkotakan sebagai juara baru Piala FA, MOD, dengan jaringan 2-0.

Lawannya di perlawanan akhir pada malam 27 Mei (Rabu) nanti ialah finalis Piala FA tahun lalu, PSJD, yang menang 2-1 ke atas pasukan meningkat naik, MS PDB, di Kompleks Sukan Tutong petang ini.

Pada persaingan separuh akhir di Kompleks Sukan JKR, Jalan Airport Lama, Berakas, XN FT menjaringkan satu gol di setiap separuh masa untuk mencatatkan kemenangan 2-0, dengan jaringan pertamanya hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahrin Momin pada minit ke-19.

Lima minit selepas rehat, XN FT mendapat gol keduanya menerusi jaringan “Pemain Terbaik Perlawanan Akhir” Piala Presiden tahun lalu yang berjaya menjaringkan 4 gol dalam perlawanan akhir 2014 bagi membantu XN FT menang 6-4 ke atas Al-Idrus FT iaitu kapten pasukan, Suni Mat Jerah.

Suni (kanan) menjaringkan satu gol bagi membantu XN FT mara ke final Piala Presiden Veteran Kebangsaan DST melalui kemenangan 2-0 ke atas MOD petang tadi.
Suni (kanan) menjaringkan satu gol bagi membantu XN FT mara ke final Piala Presiden Veteran Kebangsaan DST melalui kemenangan 2-0 ke atas MOD petang tadi.

Di Tutong, kedudukan adalah seimbang, 0-0 pada separuh masa pertama. PSJD hanya berjaya mendahului pada minit ke-50 menerusi jaringan sendiri Abdul Malik Abdullah untuk mendahului MS PDB 1-0.

Md Nadzrin Abdullah menebus jaringan sendiri rakannya itu dengan menjaringkan gol buat MS PDB pada minit ke-73 untuk mengikat kedudukan pada 1-1.

Namun hanya seminit berselang, PSJD kembali di depan menerusi jaringan Md Noor Azam Abdullah, kali ini dengan jaringan 2-1, yang ternyata menjadi gol terakhir perlawanan bagi membawa PSJD ke final.

Perlawanan akhir Piala Presiden Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan DST Kali Keenam tahun ini akan berlangsung pada 27 Mei di Kompleks Sukan Berakas bermula jam 8 malam.