XN FT juara Piala Presiden 2016

XN FT juara Piala Presiden 2016

Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI EBGAWAN, 11 Sept – XN FT mengukir sejarahnya tersendiri apabila berjaya menjadi pasukan pertama memenangi kedua-dua Piala Presiden dan Piala FA Persatuan Bola Sepak Veteran Kebangsaan Negara Brunei Darussalam setelah menewaskan Pasukan Al-Idrus, semalam.

XN FT yang diterajui ketua pasukan, Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliuddin juga tampil kali keempat naik ke atas podium apabila mencatatkan sejarah bagi Piala Presiden buat kali keempat berturut-turut.

Dalam perlawanan akhir yang diadakan di Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan, Suni Mat Jerah menjaringkan gol pada minit ke-45 diikuti dengan jaringan oleh Rosli bin Ahad pada minit ke-60 sebelum menjaringkan sebiji lagi gol pada minit ke-69.

Jaringan XN FT tidak berhenti di situ apabila Suni Mat Jerah sekali lagi menemui jaring pada minit ke-88 dan ditambah dengan jaringan terakhir XN FT menjadikan kedudukan 5-0 oleh Radiman bin Haji Abdul Rahman.

Perlawanan akhir itu dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof serta Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Suhaimi Hussain yang dialu-alukan oleh Naib Presiden VFA, Haji Metussin bin Bagol.

Ketika dihubungi Naib Presiden VFA menegaskan rasa berbesar hati dengan prestasi dan persembahan semua pasukan yang terlibat dalam kedua-dua kejohanan penganjuran tahun ini.

“Perlawanan berjaya menarik minat lebih banyak pasukan untuk turut serta dalam kejohanan kali ini berbanding hanya 10 pasukan pada tahun 2010 dan kini jumlah pasukan mencapai ke angka 39 buah, syabas kepada semua,” ujarnya.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama juara Piala Presiden 2016 iaitu Pasukan XN FT.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama juara Piala Presiden 2016 iaitu Pasukan XN FT.

Menurutnya, peningkatan ini akan memberikan peluang kepada bakat-bakat dalam kalangan pemain untuk terus bergiat aktif dalam sukan bola sepak tanah air di peringkat veteran yang katanya juga merupakan amalan gaya hidup sihat yang sangat proaktif.

“Usaha penganjuran adalah sebahagian daripada usaha persatuan untuk menyahut baik seruan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam pengamalan gaya hidup sihat yang selaras dengan hasrat melahirkan warga Brunei yang sihat,” tambahnya lagi.

Di samping itu, beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku badan induk kesukanan di negara ini dan juga kepada penaja kejohanan iaitu DST.