XN FT julang Piala Sumbangsih

XN FT julang Piala Sumbangsih

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – XN FT menjulang Piala Sumbangsih di Kompleks Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah apabila berjaya membenam Kementerian Pembangunan (MOD) dengan jaringan 4-2.

Suni Mat Jerah membuka tirai jaringan apabila hantaran lintang ke dalam petak D yang melepasi jangkauan penjaga gawang MOD dimanfaat dengan hanya dorongan mudah untuk memberikan inspirasi kepada rakan sepasukannya mencari kemenangan pertama musim 2016 ini.

Pada pertengahan babak pertama Ketua Pasukan XN FT, Pengiran Isa bin Pengiran Haji Aliuddin pula menambah jaringan apabila beliau menanduk masuk bola yang dihantar daripada sepakan sudut menjadikan keadaan lebih tegang dan sekali gus merancakkan lagi permanian.

Pada babak kedua perlawanan, XN FT terus mara apabila sekali lagi Suni Mat Jerah menambah dua lagi jaringan untuk menjadikan XN FT selesa di hadapan dan sekali gus melengkapkan hatriknya dalam perlawanan itu.

Tetamu kehormat menyerahkan piala kemenangan kepada ketua pasukan XN FT.
Tetamu kehormat menyerahkan piala kemenangan kepada ketua pasukan XN FT.

Namun begitu, pantang beralah sebelum wisel penamat dibunyikan, itulah yang perlu diberikan pujian kerana MOD terus memberikan tentangan hebat kepada XN FT dan akhirnya beroleh dua jaringan untuk menjadikan kedudukan 4 -2 sehingga ke akhir wisel perlawanan.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada barisan pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.