XN FT lakar sejarah

XN FT lakar sejarah

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – XN FT berjaya mencatat sejarah Piala Presiden Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan DST apabila memenanginya tiga tahun berturut-turut selepas menang 4-1 (1-1) ke atas juara edisi pertama (2010), PSJD menerusi penentuan penalti malam tadi.

Perlawanan masa sebenar berakhir 1-1 tetapi semasa penentuan penalti selepas itu, penjaga gol XN FT, Alijanda Sitom menjadi wira apabila menyelamatkan dua sepakan penalti PSJD selepas yang pertama terkena tiang manakala sepakan Radiman bin Haji Abdul Rahman, Mohd Ali bin Haji Momin dan Suni Mat Jerah semuanya berjaya menggegar gawang PSJD.

Pemain berusia 35 tahun XN FT, Shahrin bin Momin memberikan XN FT pendahuluan 1-0 menerusi jaringan awalnya yang berlaku ketika perlawanan baru berlangsung enam minit, dengan kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama selesai.

Separuh masa kedua terus berlangsung sengit tetapi tiada jaringan dihasilkan sehinggalah pada minit ke-85 apabila Md Noor Azmi bin Abdullah, 52, menghukum kesilapan pertahanan XN FT untuk mudah menjaringkan gol penyamaan PSJD, dan kedudukan 1-1 itu tidak berubah sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

XN FT menjulang Piala Presiden buat kali ketiga berturut-turut setelah mengalahkan PSJD pada perlawanan akhir semalam.
XN FT menjulang Piala Presiden buat kali ketiga berturut-turut setelah mengalahkan PSJD pada perlawanan akhir semalam.

Hadir menyaksikan perlawanan di Kompleks Sukan Berakas itu dan menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif DST Group, Haji Marshad bin Haji Ismail. XN FT selaku juara membawa pulang Piala Presiden, piala iringan juara, pingat emas dan wang tunai $1,000, manakala PSJD naib johan menerima piala iringan naib juara, pingat perak dan wang tunai $750.

Sementara itu dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir iaitu MOD dan MS PDB, masing-masing telah memenangi hadiah wang tunai $500 berserta pingat gangsa.

ARTIKEL YANG SAMA