XN FT mara ke separuh akhir Piala VFA

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Pasukan XN FT mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam (VFA) 2018 apabila menewaskan TJ FT di Kelab Rekreasi Diraja Brunei di Berakas baru-baru ini.

Haji Rudy Yahya membuka tirai bagi pasukan TJ FT namun kedudukan tidak kekal lama apabila XN FT meraih dua jaringan melalui Awang Radiman dan Haji Nadzrin untuk muncul sebagai pemenang dan sekali gus mara ke peringkat empat terbaik kejohanan itu.

Ketika dihubungi kapten pasukan XN FT, Pengiran Isa Pengiran Haji Aliuddin mewakili pasukannya mengucapkan penghargaan kepada VFA atas pertimbangan bagi rayuan XN untuk menyertai semula dalam Kejohanan Piala VFA setelah banyak perkara teknikal telah pun dibincangkan dan dapat diselesaikan.

Aksi antara Pasukan XN FT dan TJ FT yang berlangsung baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

Mengulas mengenai cabaran kali ini beliau menegaskan, “Cabaran pertama XN dalam musim ini ialah ketiadaan lebih daripada sebahagian besar kesebelasan utama pada musim ini,” dan menegaskan lapan pasukan yang beraksi dalam peringkat suku akhir ini semuanya pasukan-pasukan yang mencabar yang mampu menjuarai piala.

“Kami hanya mencatat menang tipis ke atas pasukan TJ FT dan saya akui mereka sangat kuat dan tidak memberikan laluan mudah kepada kami dan mereka sebenarnya mampu mengalahkan XN FT tapi nasib tidak menyebelahi mereka,” ujar Pengiran Isa lagi.

Menurutnya lagi Pasukan XN FT akan mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan bagi persediaan separuh akhir nanti dan menegaskan jika XN FT mara ke peringkat akhir nanti bagi piala VFA ini boleh dikatakan pasukan melakukan tugas dengan baik dan berharap akan berjaya menjulang piala VFA tahun ini.