Yahoo catat kerugian AS$99 juta

Yahoo catat kerugian AS$99 juta

SAN FRANCISCO, 20 April (AFP) – Yahoo melaporkan kerugian suku semalam tatkala syarikat pelopor Internet itu terus memikat pembeli berpotensi dan mengkaji opsyen strategik lain.

Ketua eksekutif Yahoo Marissa Mayer berkata syarikat telah “mencatat kemajuan besar dalam alternatif strategik berpotensi” sementara berusaha mengurangkan kos dan menjana pertumbuhan. Syarikat melaporkan kerugian bersih sebanyak AS$99 juta dalam suku pertama, berbanding dengan keuntungan berjumlah AS$21 juta setahun sebelumnya.

Pendapatan merosot kepada AS$1.09 bilion berbanding dengan AS$1.23 bilion dalam tempoh yang sama setahun sebelumnya. Ketua pegawai kewangan Yahoo Ken Goldman berkata keputusan “adalah melebihi julat panduan kami,” dan syarikat terus mencari “proses alternatif strategik sebagai satu dasar utama.”

Firma itu tidak menawarkan sebarang butir khusus, berkata jawatankuasa lembaga dan penasihat undang-undang mengadakan rundingan “dengan parti strategik dan kewangan yang berminat.” Saham Yahoo meningkat 1.4 peratus kepada AS$36.84 dalam perniagaan selepas waktu tutup ekoran pengumuman itu.

Gambar fail bertarikh 18 Februari 2016 menunjukkan Marissa Mayer menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pemaju Yahoo Mobile di San Francisco. - AP
Gambar fail bertarikh 18 Februari 2016 menunjukkan Marissa Mayer menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pemaju Yahoo Mobile di San Francisco. – AP

“Sementara lebih baik daripada dijangkakan, keputusan Yahoo menandakan kemerosotan beransur-ansur dalam kebanyakan petunjuk kewangan berbanding pesaing utama,” kata Sotirios Paroutis daripada Sekolah Perniagaan Warwick, yang telah mengkaji Yahoo. Syarikat telekom AS Verizon telah muncul sebagai pesaing utama untuk mengambil alih Yahoo tatkala nama terkenal lain dilaporkan disingkirkan, menurut media kewangan AS.

Peluang untuk Verizon Communications telah meningkat tatkala syarikat induk Google Alphabet, Time Inc dan kumpulan penyiaran dan televisyen kabel AS Comcast semuanya memutuskan tidak akan membuat tawaran, kata Wall Street Journal, memetik sumber tanpa nama, sejurus sebelum tarikh akhir untuk penyerahan berakhir pada Isnin.

Bloomberg News, juga memetik sumber tanpa nama, berkata Verizon kini bersaing untuk perniagaan utama Yahoo berbanding sekurang-kurangnya dua pembida lain: TPG, sebuah firma ekuiti swasta dan YP Holdings, perniagaan periklanan online mengenai apa yang sebelumnya dipanggil Yellow-pages.com.

ARTIKEL YANG SAMA