Yakin AEC membuahkan hasil tempoh 1-2 tahun

Yakin AEC membuahkan hasil tempoh 1-2 tahun

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) – Pelabur Jepun yakin Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan mula membuahkan hasil dalam tempoh satu hingga dua tahun dan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan di rantau ini.

Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) Kuala Lumpur Akira Kajita berkata berikutan wujud kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi China, kebanyakan syarikat Jepun telah mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

“Kami berharap trend positif akan kembali pada landasan yang betul apabila para pemimpin AEC memeterai penubuhan AEC November ini.

“Ia akan menyediakan dan menyelaraskan iklim pelaburan di rantau ini terutama apabila kesemua negara anggota kini mempunyai kaedah dan peraturan berbeza ke atas pelabur asing,” katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat ke-47 Menteri-menteri Ekonomi ASEAN dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di sini.

Beliau berkata integrasi standard, pemansuhan halangan bukan tarif selain liberalisasi ke atas sektor perkhidmatan, mampu memberi rangsangan seterusnya kepada perdagangan dan pelaburan Jepun-ASEAN.

Kajita juga berkata peranan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga merupakan pemangkin bagi pertumbuhan blok ASEAN.

Beliau berkata tahun lepas, JETRO membantu 1,500 PKS Jepun memulakan perniagaan dengan lebih separuh daripadanya menunjukkan minat ke atas ASEAN yang mempunyai lebih 600 juta penduduk.

Di Malaysia sahaja, katanya kira-kira 1,400 syarikat Jepun melabur di negara ini, dengan lebih separuh membabitkan PKS.

ARTIKEL YANG SAMA