Yakin berlaku ‘pertarungan’ Spieth-Day

Yakin berlaku ‘pertarungan’ Spieth-Day

INCHEON, Korea Selatan, 7 Okt (AFP) – Legenda golf Jack Nicklaus berkata hari ini beliau amat berharap untuk melihat berlaku ‘pertarungan’ di antara Jordan Spieth dan Jason Day pada perseorangan Piala Presiden Ahad ini di gelanggang kelab golf yang menggunakan namanya.

Pertarungan dua pemain terbaik dunia tersebut kemungkinan akan berlaku, kata Nicklaus, yang beliau sendiri memenangi 18 kejohanan besar dan menjadi kapten pasukan Amerika Syarikat sebanyak empat kali pada piala Presiden.

“Macam inilah, jika mereka mahu bertarung sesama mereka ada caranya untuk memastikan ia menjadi kenyataan,” Nicklaus yang berusia 75 tahun memberitahu AFP menjelang perlawanan pasukan AS menentang pasukan International di Kelab Golf Jack Nicklaus di Incheon, Korea Selatan.

Jack Nicklaus pada sidang media menjelang kejohanan Piala Presiden 2015 di Kelab Golf Jack Nicklaus di Incheon, Seoul, pada 7 Oktober 2015. – AFP
Jack Nicklaus pada sidang media menjelang kejohanan Piala Presiden 2015 di Kelab Golf Jack Nicklaus di Incheon, Seoul, pada 7 Oktober 2015. – AFP

“Ketika saya menjadi kapten pasukan pada 1998, Tiger Woods mahu menentang Greg Norman dan kami menjadikannya satu kenyataan,” kata Nicklaus.

“Kali kedua Tiger mahu bersaing dengan Ernie (Els) dan saya sendiri serta Gary (kapten International) memastikan ia menjadi pertarungan yang hebat dan menarik.”

Tidak seperti Piala Ryder, di mana senarai perlawanan sudah ditetapkan, walhal sistem Piala Presiden menyaksikan setiap kapten menamakan pemain yang pastinya akan membolehkan pertemuan Spieth dan Day mampu dijadikan kenyataan.