Yakin Martial sudah matang

Yakin Martial sudah matang

MANCHESTER, 1 Feb – Rakan sepasukan Anthony Martial di Manchester United percaya penyerang muda Perancis itu semakin hampir memenuhi potensi sebenarnya yang meyakinkan Louis van Gaal ketika menandatanganinya daripada Monaco awal musim ini.

Perpindahan itu dilaporkan boleh menyebabkan kos United mencecah AS$87.6 juta (RM365 juta), sekiranya Martial, 20, memenuhi beberapa klausa bonus yang terkandung dalam kontraknya.

Selepas permulaan hebat di Old Trafford, Martial mengharungi kejatuhan prestasi pada pertengahan musim, tetapi persembahan terpujinya ketika United menumpaskan Derby County 3-1 dalam pusingan keempat Piala FA kelmarin mengingatkan semula kepada prestasi asalnya sebaik tiba di sana pada awal kempen ini.

Kini, Martial dan United begitu terdesak untuk membawa prestasi sama ke dalam ujian pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Stoke City Selasa ini tatkala mereka mahu mengurangkan tekanan tinggi yang menghimpit pengendalinya Van Gaal pada tahun baru ini.

“Dia boleh menjadi pemain yang bagus, tetapi perlu meningkatkan prestasinya,” kata rakan-sepasukannya Marouane Fellaini. “Anthony mempunyai kualiti yang hebat.

Anthony Martial ketika bertemu dengan Derby Yakub Butterfield.– Reuters
Anthony Martial ketika bertemu dengan Derby Yakub Butterfield.– Reuters

Dia sangat pantas, mempunyai kawalan bola yang baik dan begitu berbahaya. Dia masih muda dan harus berusaha dan mempelajari benda baru setiap hari dan dia pasti akan menjadi pemain yang hebat.

“Dia menyesuaikan diri dengan baik, dan menikmati latihan dan menyukai EPL, dan gemar beraksi.” Tambah tonggak Belgium itu: “Kami bermain dengan baik menentang Derby.

Kami mencipta banyak peluang dan ia bagus untuk meningkatkan keyakinan kami.

“Hantaran kami sangat pantas dan kami bermain secara menyerang. Jadi saya fikir kami akan terus bermain seperti itu.” Rakan posisi Fellaini, Michael Carrick juga begitu kagum dengan peningkatan Martial dan percaya dia sangat luar biasa dalam kemenangan ke atas Derby. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA