Yang Di-Pertua MMN terima kunjungan duta Indonesia

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini, telah menerima kunjungan perpisahan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Nurul Qomar.

Turut hadir dalam kunjungan perpisahan yang diadakan di Bangunan Dewan Majlis itu ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar, Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail serta beberapa orang pegawai dari Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Pada kunjungan perpisahan tersebut, kedua-dua belah pihak menghargai hubungan erat di antara kedua-dua buah negara dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan Nurul Qomar sebagai duta di Negara Brunei Darussalam.

Kedua-dua belah pihak berharap agar hubungan baik tersebut akan terus kekal dan semakin kukuh.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman ketika menerima kunjungan Nurul Qomar.