Yang Di-Pertuan Agong M’sia, Presiden India utus tahniah

Yang Di-Pertuan Agong M’sia, Presiden India utus tahniah

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Sempena Ulang Tahun ke-32 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari 2016, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV Malaysia, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah mengutuskan ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semua ahli kerabat diraja dan seluruh rakyat Brunei.

Baginda mengharapkan agar Hari Kebangsaan ini disambut dengan penuh kesejahteraan serta keberkatan dan Seri Paduka Baginda juga mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan rasa amat bersyukur atas hubungan akrab antara para pemimpin dan rakyat jelata Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

Adalah menjadi harapan Baginda agar hubungan rapat serta kerjasama erat yang sudah sekian lama terjalin di antara kedua-dua negara ini akan terus berkekalan dan bertambah erat.

Baginda juga mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia senantiasa dirahmati dan di bawah perlindungan Allah S.W.T agar dapat terus-menerus memimpin Negara Brunei Darussalam dengan aman dan makmur.

Presiden India, Tuan Yang Terutama Pranab Kumar Mukherjee juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan rakyat Brunei Darussalam sempena Hari Kebangsaan negara ini yang akan disambut pada 23 Februari ini. Dalam mesej ucapannya, Presiden India menyatakan kepada Baginda Sultan bahawa India dan Brunei Darussalam telah lama menikmati hubungan persahabatan yang rapat dan Brunei Darussalam merupakan rakan penting dalam ‘Act East Policy’ India.

Presiden India juga melahirkan keyakinannya bahawa pertukaran yang berterusan di antara kedua buah negara dalam pelbagai bidang akan menyuburkan lagi kerjasama rapat dan meningkatkan hubungan antara kedua buah negara pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA