Yang Teramat Mulia mahu jadi juruterbang pakar

Yang Teramat Mulia mahu jadi juruterbang pakar

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli 920 Kapten Pengiran Muda ‘Abdul Mateen tidak sabar untuk menjalani latihan juruterbang tentera yang akan bermula seawal minggu depan dan menyatakan harapan yang tinggi untuk memajukan lagi kerjaya dalam tentera berikutan dengan kenaikan pangkat tersebut.

Yang Teramat Mulia meluahkan perasaan tidak sabar itu semasa ditemu bual media selepas dikurniakan kenaikan pangkat kepada Pemangku Kapten oleh ayahanda Yang Teramat Mulia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada majlis yang diadakan di Mes Pegawai Bolkiah Garison, hari ini.

Yang Teramat Mulia telah menamatkan latihan ketenteraan di akademi tentera berprestij Royal Military Academy (RMA) di Sandhurst, United Kingdom (UK) pada April 2011.

Yang Teramat Mulia bersabda, akan kembali ke UK pada minggu depan bagi meneruskan latihan penerbangan tentera dan merancang untuk memajukan diri di sana secara beransur-ansur dalam usaha untuk menjadi pakar dalam bidang berkenaan.

“Saya akan mengambil langkah demi langkah, dan akan cuba dan menamatkan latihan penerbangan ini dan akan kembali dan pakar dalam (bidang ini) dan dari sana, kita akan lihat di mana saya boleh pergi,” sabda Yang Teramat Mulia lagi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama paduka anakanda Baginda, YTM Duli 920 Kapten Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama paduka anakanda Baginda, YTM Duli 920 Kapten Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan YTM Duli 920 Kapten Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar ramai selepas majlis pengurniaan lencana pangkat kepada Yang Teramat Mulia, kelmarin.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan YTM Duli 920 Kapten Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar ramai selepas majlis pengurniaan lencana pangkat kepada Yang Teramat Mulia, kelmarin.

Yang Teramat Mulia mengikuti jejak langkah paduka ayahandanya selaku tentera yang terlatih dalam RMA Sandhurst dan seorang juruterbang terlatih.

Kini berusia 25 tahun, Yang Teramat Mulia sebelum ini telah mengikuti Kursus Pentauliahan Pegawai Tentera Biasa yang berlangsung selama 48 minggu ketika berusia 18 tahun, bersama-sama dengan 200 orang pegawai kadet yang lain bagi pengambilan ke-102 Sandhurst.

Kursus pentauliahan selama tiga penggal yang mencabar dalam RMA meliputi latihan ketenteraan, kursus latihan, ekspedisi mencabar dan juga subjek akademik.

Setelah tamat latihan di Sandhurst, Baginda Sultan berkenan untuk menganugerahkan pangkat Leftenan Muda/Leftenan Kedua kepada Yang Teramat Mulia pada 15 April 2011, dan Yang Teramat Mulia kemudiannya telah dinaikkan ke pangkat Leftenan pada 15 September 2012.

Yang Teramat Mulia, yang juga gemar bermain polo dan bola sepak selain pelbagai sukan lain, telah menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dalam Politik Antarabangsa daripada King’s College, London pada 21 Julai, 2014.

Di samping itu, Yang Teramat Mulia juga menamatkan Sarjana Sastera dalam Pengajian Antarabangsa dan Diplomasi daripada School of Oriental and African Studies, University of London pada Julai lalu.

Mengenai inspirasi kepada belia-belia di Negara Brunei Darussalam untuk menyertai kerjaya ketenteraan, Yang Teramat Mulia menyatakan mahu memberi inspirasi bukan kepada belia sahaja tetapi kepada semua orang dan juga menggesa kepada pegawai lain dalam ABDB untuk menjadi inspirasi.

“Ia bukan sahaja saya, semua pegawai (pegawai ABDB) secara umum seharusnya memberi inspirasi kepada belia untuk datang dan memilih tentera sebagai kerjaya,” sabda Yang Teramat Mulia.

ARTIKEL YANG SAMA