Yaya Toure kembali beraksi gah

Yaya Toure kembali beraksi gah

MANCHESTER – Terdapat satu kegembiraan yang jelas dapat dirasakan ketika kembalinya Yaya Toure dalam kesebelasan utama dan malah menjaringkan gol bagi Manchester City hujung minggu lepas.

Ketika meninggalkan padang selepas menjaringkan kedua gol kemenangan City dalam perlawanan yang berkesudahan 2-1 ke atas Crystal Palace, beliau telah diberikan pelukan oleh jurulatih Pep Guardiola. Dan semasa memasuki bilik persalinan, beliau telah diberikan tepukan oleh rakan sepasukannya. Saat-saat gembira itulah yang telah lama ditunggu-tunggu oleh Yaya.

Seorang pemain yang akan tersenarai dalam buku sejarah sebagai salah seorang pemain terhebat Manchester City, Yaya telah dipulaukan sejak Guardiola mengambil alih sebelum musim ini bermula. Sebab utama beliau dipulaukan adalah kerana ejen Yaya, Dimitri Seluk, yang jelas tidak disukai oleh Guardiola kerana Seluk mengkritiknya secara terbuka.

Tetapi ia juga ada kena-mengena dengan Yaya sendiri, Guardiola menganggap bentuk fizikal terlalu besar dan tidak cukup cergas untuk bermain dengan gaya permainan menekan pihak lawan yang jurulatih Sepanyol itu mahukan.

Perlawanan menentang Palace itu hanyalah penampilan kali kedua Yaya bagi musim ini, kali pertama sejak perlawanan penentuan Liga Juara-juara pada 24 Ogos. Ia merupakan antara kesebelasan yang mengejutkan musim ini.

Yaya Toure meraikan jaringannya ketika menentang Crystal Palace. – AP
Yaya Toure meraikan jaringannya ketika menentang Crystal Palace. – AP

Dan apa yang menariknya adalah Yaya bermain 90 minit, meskipun kekurangan masa perlawanan, dan terbukti sekali lagi menjadi pemenang perlawanan bagi City.

Pujian Guardiola

“Berat badanya kini sudah sempurna, dan memang tidak perlu diragui mengenai kualitinya,” kata Guardiola.

Guardiola memberikan pujian mengenai pemain yang telah dijualnya ketika mengendalikan Barcelona, berkata Yaya kini sudah menjadi sebahagian daripada pasukan dan boleh membantu mereka mencapai kesemua sasaran kelab.

Malah adanya peluang untuk Yaya menjadi sebahagian daripada skuad City dalam peringkat kalah mati Liga Juara-juara, jika kelab itu mara dari peringkat kumpulan. Yaya tidak dimasukkan bagi skuad dalam peringkat kumpulan, sudah tentu beliau tidak berada dalam senarai pemain yang bertandang ke Borusia Moenchengladbach minggu ini.

“Jika kami berjaya mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-juara, saya akan duduk dengan kakitangan saya dan akan membuat keputusan pemain-pemain mana yang dapat membawa kami menjulang kejuaraan Liga Juara-juara,” kata Guardiola.

“Saya telah banyak berbincang dengan Yaya pada bulan lepas kerana sebelum ini beliau juga merupakan pemain saya ketika di Barcelona, dan saya begitu mengenalinya. Saya mengenalinya sebagai seorang pemain, sebagai seorang pemain memang tidak ada keraguan. Jika ada keraguan pasti beliau tidak berada di sini.”

Persaingan hebat

Bagaimanapun, Yaya tidak mungkin akan mendapatkan semula status ‘kebal’ beliau ketika bersama Roberto Mancini dan Manuel Pellegrini.

Guardiola berkata bahawa Yaya kini sudah menjadi sebahagian daripada pasukan dan boleh membantu mereka mencapai kesemua sasaran kelab. – AP
Guardiola berkata bahawa Yaya kini sudah menjadi sebahagian daripada pasukan dan boleh membantu mereka mencapai kesemua sasaran kelab. – AP
Ketika meninggalkan padang dalam perlawanan yang berkesudahan 2-1 ke atas Crystal Palace, Yaya telah diberikan pelukan ‘tahniah’ oleh jurulatih Pep Guardiola. – AP
Ketika meninggalkan padang dalam perlawanan yang berkesudahan 2-1 ke atas Crystal Palace, Yaya telah diberikan pelukan ‘tahniah’ oleh jurulatih Pep Guardiola. – AP

Beliau kini sudah berusia 33 tahun dan bukan lagi pemain tengah dinamik yang membawa City memenangi perlawanan dan kejuaraan sejak menyertai kelab tersebut dari Barcelona pada tahun 2010. Kontrak terbarunya berakhir pada penghujung musim ini.

Bahkan, kini beliau mempunyai banyak persaingan dalam posisi tengah, dengan Fernandinho dan Ilkay Gundogan berada di depannya dalam barisan bagi pemain tengah, dan kedua David Silva serta Kevin De Bruyne di depannya pula bagi pemain tengah menyerang.

Guardiola juga mempunyai khidmat Fabian Delph, yang kini masih cedera, dan Fernando sebagai pemain midfield alternatif, serta pemain muda berbakat, Aleix Garcia.

Tetapi Yaya tetap menjadi pilihan hebat untuk dimiliki oleh Guardiola. Sebagai contoh ketika menentang Palace, Guardiola beralih kepada Yaya selepas memberikan rehat kepada Gundogan dan Silva kerana mereka telah bermain sebanyak dua kali untuk negara masing-masing.

“Saya tahu bahawa suatu hari nanti pengurus memerlukan saya,” kata Yaya.

Dan rakan sepasukannya teruja apabila salah seorang pemain terbaik City kembali beraksi. Pemergian Yaya dari Stadium Etihad mungkin tidak seteruk mana.

“Ia bukan saat yang mudah bagi beliau dalam beberapa minggu kebelakangan ini,” kata bek kanan City, Bacary Sagna.

“Beliau tetap bekerja keras dalam latihan, bersikap profesional dan itu adalah penghargaannya.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA